CHINA pada Rabu berikrar tidak akan bertolak ansur dengan “aktiviti pemisah” di Taiwan, menegaskan sekali lagi ia akan mengambil pulau yang diperintah sendiri secara paksa jika perlu.
Amaran Beijing, yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya, dibuat beberapa hari selepas latihan tentera China yang dicetuskan oleh lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi.
Minggi lepas, Pelosi menjadi pegawai tertinggi AS yang melawat Taiwan sejak beberapa dekad walaupun terdapat ancaman keras dari China, yang cuba memastikan Taipei terpencil daripada pentas dunia.
Pejabat Hal Ehwal Taiwan China pada Rabu mengeluarkan kertas putih yang memaparkan bagaimana ia berhasrat untuk menuntut pulau itu melalui pelbagai insentif ekonomi dan tekanan ketenteraan.
“Kami bersedia untuk mewujudkan ruang yang luas untuk penyatuan semula secara aman, tetapi kami tidak akan meninggalkan ruang untuk aktiviti pemisah dalam apa jua bentuk,” menurut kertas putih itu.
China “tidak akan lepaskan penggunaan kekerasan, dan kami ada pilihan untuk ambil semua langkah yang perlu”.
Bagaimanapun, tambahnya, “kami hanya akan terpaksa mengambil langkah drastik untuk bertindak balas terhadap provokasi unsur pemisah atau kuasa luar sekiranya mereka melintasi garis merah kami.”
Kali terakhir China mengeluarkan kertas putih mengenai Taiwan pada tahun 2000.
Sejak akhir 1990-an, pulau itu telah berubah daripada autokrasi kepada demokrasi, malah identiti Taiwan lebih terserlah.
Hubungan kedua-dua pihak semakin memburuk sejak Tsai Ing-wen menjadi presiden pada 2016.
Tsai dan Parti Progresif Demokratiknya tidak menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada China. – AFP, 10 Ogos, 2022.
Komen