KOMITMEN Putrajaya untuk meneruskan projek kapal tempur pesisir (LSC) menggunakan kontraktor yang sama, Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd, tidak memberi jaminan penghantaran akan tepat pada masanya, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.
Merujuk kepada jaminan lisan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein yang LCS pertama akan siap “dalam tempoh satu atau dua tahun”, ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata menteri sebenarnya tidak mendedahkan bagaimana mereka akan memastikan ia dilakukan.
“Mereka masih belum mendedahkan bagaimana hasrat untuk memastikan kegagalan dan kelewatan yang melanda projek itu tidak akan berulang.
“Menteri pertahanan semasa Hishamuddin Hussein berkata bahawa beliau berharap LCS pertama akan siap ‘…dalam masa satu atau dua tahun’.
“Beliau sepatutnya menggariskan bagaimana kerajaan akan memastikan perkara ini benar-benar berlaku dan apa yang akan dilakukan jika ia tidak berlaku..
“Apa yang kita ada—daripada beliau dan rakan-rakannya dalam kerajaan—adalah janji,” kata naib presiden PKR itu dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah Hishamuddin menyelia projek ini sepanjang tempoh empat tahun beliau sebelum ini dalam portfolio yang sama.
Pada Isnin, Hishammuddin memberitahu Dewan Negara LCS pertama daripada enam yang dibeli daripada BNS sepatutnya siap selewat-lewatnya dua tahun dari sekarang.
Beliau juga berjanji Kementerian Pertahanan akan telus dengan orang ramai mengenai status projek itu dan menyediakan kemas kini berkala bagi memastikan ia dihantar mengikut jadual.
Projek LCS merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Mindef dengan kos keseluruhan RM9 bilion.
Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporannya mengenai pembelian LCS Kementerian Pertahanan daripada BNS melalui rundingan terus.
Walaupun kerajaan membayar RM6.08 bilion untuk kos projek tersebut, namun tiada satu pun kapal yang dihantar.
Mengikut jadual asal, lima LCS sepatutnya dihantar kepada kementerian pada bulan ini.
Merujuk kepada laporan PAC, Nik Nazmi berkata pihaknya mendapati “reka bentuk terperinci” bagi projek itu masih belum dimuktamadkan antara kerajaan dan BNS, menyebabkan projek itu terdedah kepada manipulasi berterusan.
“PAC juga mendapati 15% daripada kira-kira RM1.7 bilion peralatan yang disimpan untuk LCS Malaysia kini sudah usang.
“Ini bermakna terdapat risiko kapal-kapal ini mungkin tidak dapat mempertahankan negara kita dengan baik walaupun sudah siap.
“Kita tidak nafikan, kemungkinan kontraktor akan dapat mengatasi masalah ini. Cuma, rekod setakat ini tidak memberangsangkan.
“Kerajaan nampaknya membuat andaian bahawa dua LCS pertama boleh disiapkan menjelang 2024 atau lebih awal dan ia akan diterima tanpa sebarang masalah.
“Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kedua-dua kapal itu boleh disiapkan menjelang 2024 dengan baki RM3 bilion atau lebih bajet, memandangkan terdapat RM800 juta dalam liabiliti,” kata ahli Parlimen PKR itu.
Nik Nazmi juga menggesa kerajaan menyahklasifikasi laporan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) mengenai LCS, serta melaksanakan syor kedua-dua laporan ini.
Sementara itu, walaupun beberapa tangkapan dibuat berhubung kes itu, Nik Nazmi difahamkan masih belum ada pihak yang didakwa berhubung skandal itu, walaupun beliau mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini berkata ia merancang berbuat demikian tidak lama lagi.
“Andainya semua LCS yang dipesan tiba-tiba dihantar secara ajaib pada esok hari; atau negara dapat mendapatkan semula wang yang dibazirkan atau dibelanjakan secara tidak wajar—mereka yang bersalah tetap wajib dibawa ke muka pengadilan.,” katanya.
“Rakyat Malaysia tidak sepatutnya dibebani kesan kesalahan yang dilakukan bertahun-tahun lalu. Cuma, pemikiran dan perancangan ke hadapan diperlukan.
“Yang bersalah mesti dihukum. Kita mesti mempelajari pengajaran yang ditawarkan dalam masalah ini: iaitu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan mesti digunakan untuk semua perolehan kerajaan — termasuklah perkakasan ketenteraan,” tambah Nik Nazmi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pada Sabtu lepas yang siasatan sedang di peringkat akhir, dengan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, sambil menambah keputusan siasatan bakal diumumkan tidak lama lagi. – 10 Ogos, 2022.
Komen