PIHAK berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa membenarkan prosedur baharu suntikan vaksin cacar monyet yang akan memboleh lebih ramai disuntik dengan jumlah ubat yang sama, ketika dos semakin berkurangan di negara itu.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) juga membenarkan pemberian vaksin kepada individu di bawah umur 18 tahun yang dianggap berisiko tinggi untuk dijangkiti.
Bagi mereka yang berumur lebih 18 tahun, pekerja kesihatan kini boleh memberikan vaksin secara berbeza, melalui suntikan intradermal—iaitu, di antara lapisan atas kulit—dan bukan dengan suntikan subkutaneus.
Kaedah baharu itu akan “meningkatkan jumlah dos yang tersedia untuk digunakan sehingga lima kali ganda,” kata FDA dalam satu kenyataan.
Dua suntikan, selang empat minggu, masih diperlukan.
FDA berkata ia menggunakan data daripada percubaan klinikal 2015 yang menunjukkan tindak balas imun yang sama pada individu yang diberi suntikan subkutaneus berbanding mereka yang diberi seperlima daripada dos melalui suntikan intradermal.
Pada masa ini, kira-kira 620,000 dos vaksin—dikeluarkan oleh Bavarian Nordic, dan dipasarkan di bawah nama Jynneos di AS—diedarkan ke seluruh negara.
Sebanyak 440,000 lagi dos tambahan masih akan diagihkan, yang boleh mencapai sehingga 2.2 juta suntikan di bawah strategi baharu itu.
Kerajaan juga mengarahkan tambahan 5 juta dos, yang akan mula tiba dari September dan berjalan hingga 2023, yang berpotensi untuk pemberian sehingga 25 juta dos.
Keputusan itu dibuat selepas FDA mengeluarkan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin itu, satu langkah mengikuti pengisytiharan kecemasan kesihatan awam minggu lalu.
Bagi kebenaran di bawah umur, FDA berkata ia menyemak data keselamatan vaksin , serta data untuk vaksin lain yang diberikan kepada kanak-kanak terhadap cacar.
“Kami berasa sangat selesa dengan keselamatan pendekatan itu,” kata Peter Marks dari FDA pada sidang akhbar, sambil menyatakan peningkatan baru-baru ini dalam bilangan kanak-kanak yang berpotensi terdedah kepada individu dijangkiti.
AS mencatatkan hampir 9,000 kes cacar monyet, satu perlima daripadanya di negeri New York.
Kebanyakan kes melibatkan lelaki yang pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki. – AFP, 10 Ogos, 2022.
Komen