GTA tak mampu beri impak pada PRU15, kata pembangkang, penganalisis


Noel Achariam

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad pada sidang media mengumumkan penubuhan Gerakan Tanah Air Khamis minggu lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

PENGANALISIS politik dan pemimpin pembangkang berpandangan kehadiran gabungan politik baharu Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad tidak mampu memberi impak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Blok terdiri daripada parti-parti kecil yang baru diumumkan minggu lalu tiada akar umbi, maka ia tidak mempunyai pengaruh kuat untuk menarik pengundi Melayu, kata mereka.

Mereka juga berkata menubuhkan satu lagi gabungan berasaskan kaum tidak semestinya akan menarik minat orang Melayu. 

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata sebaliknya apa yang paling penting ialah semua parti pembangkang perlu bersatu untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

“Kelak akan ada pertembungan tiga penjuru atau lebih. Jadi saya percaya sebarang usaha tarik undi BN dan PN sahaja tidak cukup.

“Untuk apa kalau tarik undi BN dan PN kalau pembangkang tak bersatu, bagaimana nak tumbangkan mereka?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Walaupun menghormati hak Dr Mahathir untuk menubuhkan gabungan untuk menarik minat pengundi Melayu, namun kata Khalid usaha itu tidak akan berkesan untuk memastikan kekalahan BN dan PN.

Untuk apa kalau tarik undi BN dan PN kalau pembangkang tak bersatu, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

Khamis minggu lalu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang umum penubuhan GTA, yang mensasarkan kumpulan pengundi yang muak dengan politik kepartian Melayu.

Bekas perdana menteri berkata selain Pejuang, gabungan khusus untuk orang Melayu itu turut disertai Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Gerakan berkenaan juga akan disertai ratusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, ahli akademik Melayu, katanya.

Dr Mahathir berkata GTA ditubuhkan bukan kerana perkauman, tetapi usaha mereka tertumpu melawan parti Melayu yang menyeleweng, iaitu Umno.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata GTA akan bertanding di semua 120 kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu pada PRU15.

Mengulas kata Dr Mahathir itu, Khalid berkata tiada masalah bagi Amanah jika bertembung dengan GTA di mana-mana kerusi yang ditandinginya kerana yakin dengan sokongan pengundi terhadap parti itu.

“Amanah tidak akan hilang pengundi kami, tetapi kami mungkin tidak akan dapat undi tambahan. Yang lebih kami khuatir ialah pengundi atas pagar.”

Dr Mahathir Mohamad berkata Gerakan Tanah Air ditubuhkan bukan kerana perkauman, tetapi usaha mereka tertumpu melawan Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

Tak perlu gabungan berasaskan kaum

Sementara itu, Ketua Penerangan Muda Luqman Long tidak yakin gabungan berasaskan kaum akan memenuhi selera pengundi.

“Kita harus jadi parti yang meraikan kepelbagaian kaum di negara ini.

“Saya percaya pengundi melihat kredibiliti calon serta dasar yang dibentangkan, yang memperjuangkan masalah rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, meski faham GTA mensasarkan pengundi Melayu namun satu-satunya cara untuk mendekati pengundi ialah dengan membawa dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Matlamat Muda ialah memperkenalkan dasar-dasar yang memberi kesan kepada rakyat seperti pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.

“Inilah matlamat kami kerana ada sejumlah besar pengundi atas pagar pada PRU15.

“Ahli dan penyokong tegar parti sudah pasti akan keluar mengundi, tetapi pengundi atas pagar ini yang perlu diberi perhatian,” ujarnya.

Ketua Penerangan Muda Luqman Long tidak yakin gabungan berasaskan kaum akan memenuhi selera pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

GTA tidak menonjol

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata kalau dinilai berdasarkan sokongan kepada parti-parti dalam GTA, sukar untuk menjangkakan gabungan itu mempunyai daya tarikan kuat kepada pengundi.

“Parti-parti ini kecil, tidak menonjol.

“Kalau kita lihat prestasi mereka dalam pilihan raya lepas, susah untuk ramalkan mana-mana antara mereka akan menang sebarang kerusi pada PRU akan datang,” katanya.

Tambah Tunku Mohar, untuk menarik sokongan pengundi Melayu GTA bukan sahaja mampu memenuhi janji kepada rakyat tetapi juga mampu merampas Putrajaya dari PN.

“Pada masa ini GTA tidak menonjol sebagi satu gabungan yang kuat untuk ke arah itu.

“Pejuang sendiri tiada pemimpin yang kuat serta berkebolehan semasa pilihan raya di Johor dan Melaka. Daya tarikan yang ada pada GTA setakat ini hanyalah Dr Mahathir,” jelasnya. – 10 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen