PAS tidak akan sertai GTA, kata Takiyuddin


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata partinya tidak akan sertai Gabungan Tanah Air kerana ia tidak terdiri daripada parti yang dominan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2022.

PAS tidak akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA), kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Menyifatkan penubuhan GTA tidak memberi kesan kepada PAS, beliau berkata gabungan itu, yang dipelopori Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bukanlah terdiri daripada parti-parti dominan.

“Malah saya ingin seru kepada GTA supaya bergabung dengan parti yang memberi kepentingan serta membela rakyat untuk kestabilan negara kerana perpecahan tidak akan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di Kota Bharu hari ini.

PAS ketika ini adalah sekutu Bersatu yang membentuk Perikatan Nasional bersama Gerakan dan dua parti berpangkalan di Sabah.

Pada Khamis lepas, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA iaitu sebuah gabungan bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi. – Bernama, 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen