Pemuda Umno gesa RCI skandal LCS


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata RCI dapat menghentikan tuduh menuduh, spekulasi serta provokasi oleh pelbagai pihak dalam skandal LCS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2022.

PEMUDA Umno mahu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata sejak laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pelbagai pihak tidak berkesudahan menyalahkan, mengeluarkan spekulasi dan provokasi.

Asyraf berkata situasi itu menimbulkan persepsi negatif terhadap aset ketenteraan yang sensitif, kesiapsiagaan, serta keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kepimpinan Umno yang berada di dalam kerajaan sebelum dan ketika ini juga mahukan agar siasatan dan tindakan menyeluruh terhadap laporan audit yang dikeluarkan PAC dapat dilakukan segera.

“Pemuda Umno mendesak agar pihak kerajaan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat isu ini secara komprehensif dan bebas demi kepentingan rakyat Malaysia,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Pemuda Umno adalah yang terbaharu membuat gesaan sedemikian, selepas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan veteran DAP Lim Kit Siang.

Asyraf berkata suruhanjaya siasatan akan memberikan satu titik noktah yang berautoriti kepada skandal itu dan membantu menjawab beberapa persoalan yang melanda isu itu sejak laporan didedahkan.

Pada Khamis, PAC mendedahkan tiada satu kapal pun dihantar kepada tentera laut selepas kerajaan membayar BNS sebanyak RM6 bilion.

PAC juga berkata terma dan syarat kontrak LCS tidak memihak kepada kerajaan kerana bayaran projek berdasarkan perkembangan dan perolehan barang, bukannya kemajuan pembinaan sebenar kapal.

Mengikut jadual asal, enam kapal sepatutnya diserah pada bulan ini. – 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen