PERDANA Menteri Najib Razak berkata hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan China akan musnah sekiranya pembangkang berkuasa.
Keadaan itu katanya perlu dielakkan oleh rakyat Malaysia kerana ia akan menjejaskan manfaat besar yang akan diterima daripada hubungan diplomatik dengan China.
“Beberapa ahli politik pembangkang tuduh kami gadai kedaulatan negara, menyebarkan pembohongan seperti (warga China) sesiapa yang membeli apartment dan kodominium di Forest City di Johor akan dapat kerakyataan, dan rakyat Malaysia tak boleh masuk Malaysia China Kuantan Industrial Park (MCKIP). Ini semua diada-adakan untuk menyemai rasa curiga antara Malaysia dan China.
“Malah, pemimpin kita yang terdahulu (Dr Mahathir) telah nyatakan bahawa jika mereka dapat… mereka akan membatalkan semua kontrak yang kita dapat dengan China. Ini tak boleh dibenarkan,” Najib berkata demikian ketika berucap di sambutan Tahun Baru Cina di Wisma Huazong di Seri Kembangan pagi tadi.
Najib berkata beliau yakin masyarakat Cina yang beliau anggap sebagai masyarakat yang “paraktikal” akan membuat pilihan yang tepat apabila tiba masanya.
“Saya yakin jika anda buat keputusan dengan cara yang betul dan bukan berdasarkan emosi, tetapi berdasarkan realiti dan fakta, maka saya pasti apabila tiba masanya anda akan buat keputusan yang tepat,” kata Najib.
Najib berkata beliau memahami setiap komuniti termasuk Cina mempunyai keutamaan masing-masing dan kerajaan mengenal pasti kebimbangan, harapan dan aspirasi mereka.
Beliau berkata masyarakat Cina ingin hidup dengan damai dan harmoni dalam negara yang politiknya stabil.
“Saya percaya ini telah diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka sampai hari ini. Hubungan antara pelbagai komuniti terus menjadi aspek penting dalam sistem politik dan cara hidup kita. Sebab itulah kita perlu memastikan apa saja yang diwarisi akan diteruskan dan dihormati kerana hanya dengan kedamaian dan kestabilan inilah baru kita boleh berjaya,” kata Najib.
Jelasnya, masyarakat Cina akan terus mendapat manfaat daripada dasar kerajaan.
“Sebagai perdana menteri, saya berikrar akan meneruskan dasar yang adil, sederhana dan inklusif supaya kita akan membangunkan cara hidup Malaysia yang unik ini. Tiada siapa yang boleh kata ada negara lain seperti Malaysia. Kita perlu cari cara hidup kita sendiri. Kita dah jumpa formulanya, dan ia berjaya, dan kita akan dokong kerana ia akna menjamin masa depan yang cerah untuk kita, anak-anak dan cucu kita,” kata Najib.
Beliau juga memberitahu hadirin yang semua orang perlu bekerjasama untuk mencapai kejayaan.
Ketika berucap di hadapan 1,000 ahli Persatuan Huazong, Najib berkata ekonomi Malaysia kukuh di bawah kerajaan di bawah kepimpinannya.
Kerajaan Najib telah menjadi bahan kritikan pembangkang terutamanya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Hubungan antara mereka menjadi suram apabila Dr Mahathir menuduh Najib terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 24 Februari, 2018.
Komen