FBI serbu rumah Trump di Florida


Bekas presiden AS Donald Trump menyifatkan tindakan FBI menyerbu kediamannya di Mar-A-Lago di Florida sebagai detik gelap negara. – Gambar AFP, 9 Ogos, 2022.

BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Isnin kediamannya di Mar-A-Lago di Florida sedang “diserbu” oleh ejen FBI dalam apa yang disebutnya sebagai tindakan “salah laku pendakwaan.”

“Ini adalah masa gelap bagi negara kita, kerana rumah saya yang indah, Mar-A-Lago di Palm Beach, Florida, kini sedang dikepung, diserbu dan diduduki oleh sekumpulan besar ejen FBI,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan pada rangkaian Truth Social.

“Ia adalah salah laku pendakwaan, menyerang sistem keadilan, dan serangan oleh Demokrat Kiri Radikal yang sangat tidak mahu saya bertanding jawatan Presiden pada 2024,” tambah Trump.

FBI belum lagi mengesahkan pencarian atau mendedahkan tujuannya.

Jabatan Kehakiman AS sedang menyiasat serangan 6 Januari ke atas Capitol AS oleh sekumpulan penyokong Trump – insiden yang turut menjadi subjek siasatan jawatankuasa Dewan Perwakilan.

Namun Peguam Negara Merrick Garland masih belum menuding jari kepada mana-mana pihak yang bersalah.

“Kita perlu bertanggungjawab terhadap sesiapa yang bertanggungjawab secara jenayah kerana cuba membatalkan pilihan raya yang sah,” katanya baru-baru ini, menekankan “tiada orang di atas undang-undang.”

Trump membawa sekurang-kurangnya 15 kotak dokumen kerajaan bersamanya ke Florida selepas kalah pilihan ray apresiden pada 2020.

Usaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020 juga sedang disiasat di Georgia, manakala perniagaannya sedang disiasat di New York.

Mogul hartanah itu belum secara rasmi mengisytiharkan pencalonannya untuk pilihan raya presiden 2024, walaupun telah memberi petunjuk sejak beberapa bulan lalu.

Dengan penarafan Presiden Joe Biden kini berada bawah 40 peratus dan Demokrat meramalkan akan hilang kawalan ke atas Kongres pada pilihan raya pertengahan November, Trump pula dilihat yakin boleh menaiki gelombang Republikan sehingga ke Rumah Putih pada 2024. – AFP, 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen