Ulang tahun penubuhan Asean dirai di Argentina, Mexico


Satu majlis untuk meraikan ulang tahun penubuhan Asean ke-55 pada Isnin akan berlangsung di beberapa negara termasuk di Argentina dan Thailand. – Gambar EPA, 9 Ogos, 2022.

KEDUTAAN negara-negara anggota Asean di Argentina, termasuk Vietnam, Thailand, Indonesia, Filipina dan Malaysia, dengan penyelarasan oleh Kementerian Luar negara tuan rumah, mengadakan satu majlis untuk meraikan ulang tahun penubuhan Asean ke-55 pada Isnin.

Berucap pada majlis itu, Duta Besar Vietnam Duong Quoc Thanh, yang juga Pengerusi Bergilir Jawatankuasa Asean di Buenos Aires, menyentuh mengenai asas dan pembangunan Asean sejak 1967, menonjolkan kejayaan persatuan itu dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau itu, mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk kerjasama dan pembangunan semua negara anggota.

Dengan populasi lebih 650 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) kira-kira AS$4 trilion pada 2021, Asean adalah pasaran paling berpotensi dan dinamik di dunia, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Thanh.

Thanh menekankan persamaan antara Asean dan Argentina, menyatakan harapannya agar perkongsian dua hala akan terus diperkukuh, menyumbang kepada keamanan, kestabilan di rantau itu dan dunia, yang memberi manfaat kepada negara Asean dan Argentina.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Argentina Pablo Tettamanti mengucapkan tahniah kepada negara-negara Asean di atas pencapaian blok itu. Beliau menambah kata Kerajaan Argentina sentiasa mementingkan pembangunan persahabatan dan kerjasama dengan negara-negara Asean.

Pada Isnin, Jawatankuasa Asean di Mexico City (ACMC), dengan kerjasama pentadbiran Mexico City dan tiga rakan kongsi Asean iaitu Jepun, Korea Selatan dan China turut mengadakan festival kebudayaan dan masakan yang dipanggil Bazaar Asean+3 untuk meraikan ulang tahun penubuhan ke-55 Asean.

Berucap pada majlis itu, Duta Besar Indonesia Cheppy T. Wartono, Pengerusi bergilir ACMC, menegaskan pembentukan Komuniti Asean pada 2015 membawa manfaat penting dan praktikal kepada setiap negara anggota dan meningkatkan lagi kedudukan dan peranan utama Asean di rantau itu.

Menurut beliau, Asean sentiasa bersedia untuk mengukuhkan hubungan dengan Mexico dalam semua aspek terutama dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kebudayaan. – Bernama, 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen