Filem Mat Kilau harus buka mata orang Melayu, kata Rosyam Nor


Mohd Farhan Darwis

Filem Mat Kilau harus menjadi pemangkin kepada semangat orang Melayu kerana mesejnya agar mereka bersatu dan tidak berpecah belah, kata pengarah dan pelakon Rosyam Nor. – Gambar Facebook, 9 Ogos, 2022.

FILEM Mat Kilau harus menjadi pemangkin kepada semangat orang Melayu kerana mesejnya agar mereka bersatu dan tidak berpecah belah, kata pengarah dan pelakon Rosyam Nor.

Rosyam berkata dialog dan perjalanan cerita filem yang kini mengutip RM96 juta itu menunjukkan realiti masyarakat Melayu hari ini yang berpecah belah.

“Dalam Mat Kilau menimbulkan emosi bagaimana tentera British datang tembak orang kampung, sebelum itu dia hina bangsa itu, yang menonton kebanyakan khalayak itu Melayu.

“Melayu bila dihina bersatu, tak dihina dia berpecah, jadilah macam politik sekarang, berpecah belah politik itu, ini realiti.

“Saya harap Mat Kilau buka mata agar Melayu bersatu,” kata Rosyam.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Pelakon yang pernah digelar “hero Malaya” itu berkata filem arahan Syamsul Yusof itu berjaya mengutip kutipan pecah panggung kerana membuat emosi orang Melayu tersentuh.

“Jatuhnya bangsa dan negara itu adalah disebabkan bangsa itu sendiri, yang tamak segalanya.

“Itu berlaku hari ini bagaimana Melayu berpecah, kenapa filem ini menjadi kutipan sebegitu sebab dia (Shamsul) bijak, dapat menyerap apa yang berlaku (realiti hari ini) dan tamparan itu setepek-setepek kena kepada bangsa Melayu itu sendiri.

“Saya nak cakap dengan orang Melayu, padan dengan muka Melayu,” kata Rosyam.

Beliau turut memetik titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu, terutama pemimpin politik Melayu.

Baginda turut menyeru orang Melayu menonton filem Mat Kilau dan menjadikannya sebagai satu pengajaran bagaimana negara boleh runtuh tanpa perpaduan.

Rosyam turut mengharapkan agar orang Melayu turut mengambil pengajaran daripada naskhah tersebut.

“Isi filem teramat sesuai berlaku hari ini. Itulah yang menarik orang menonton filem tersebut.

“Saya berharap dengan adanya Mat Kilau orang Melayu, membuka mata, ahli politik membuka mata, apa yang berlaku kepada kawan Mat Kilau itu berlaku, dalam politik Malaysia,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas sejauh mana filem itu mampu membuatkan pengundi Melayu bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Rosyam berkata pilihan terletak di tangan pengundi.

“Jikalau mereka merasakan bangsa itu harus bersatu melalui undian, mereka harus tahu siapa mereka perlu sokong, perlu pangkah dan parti mana yang memberikan kemajuan kepada bangsa itu sendiri, mereka boleh fikir sendiri,” katanya.

Selain Rosyam dan Shamsul, forum tersebut turut menampilkan pensyarah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Wan Hashim Wan Teh dan Syed Munawar Sayed Mustar selaku moderator.

Kutipan filem biografi epik itu mencecah sehingga RM90 juta ketika tempoh 33 hari tayangannya sekaligus mengatasi kutipan filem lain termasuk filem antarabangsa sejak ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 23 Jun lalu.

Ia dibintangi pelakon Adi Putra sebagai Mat Kilau dan dibantu Beto Kushairy sebagai Wahid, Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan Ali Karimi (Brahim).

Filem itu turut menampilkan pelakon antarabangsa Indonesia Yayan Ruhian sebagai Toga, yang membawa watak pembunuh upahan British. – 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen