Iran semak draf 'akhir' EU mengenai perjanjian nuklear


Timbalan Menteri Luar Iran Ali Bagheri Kani memaklumkan mengenai pendiriannya mengenai teks draf baharu yang dicadangkan EU. – Gambar EPA, 9 Ogos, 2022.

RUNDINGAN tidak langsung mengenai pemulihan perjanjian nuklear antara Tehran dan Washington, dengan Kesatuan Eropah bertindak sebagai perantara dimuktamadkan menerusi draf akhir perjanjian di ibu negara Austria.

Iran mengesahkan kemajuan relatif dicapai berhubung isu berbangkit dalam rundingan yang bermula Khamis selepas terhenti selama lima bulan, dan perbincangan mengenai perkara itu akan diteruskan, lapor Agensi Anadolu.

Seorang pegawai kanan di Kementerian Luar Iran dipetik sebagai berkata oleh Agensi Berita IRNA bahawa pasukan perunding Iran yang diketuai Timbalan Menteri Luar Ali Bagheri Kani memaklumkan mengenai pendiriannya mengenai teks draf baharu yang dicadangkan EU.

Beliau berkata ketua dasar luar EU Josep Borrell membentangkan idea mengenai isu selebihnya dalam teks baharu itu dan Iran menyampaikan “tindak balas awal beserta syarat”.

Kenyataan itu dibuat selepas EU memaklumkan pihaknya mengemukakan draf “akhir” untuk menyelamatkan perjanjian nuklear 2015 selepas sesi perbincangan serius antara pihak-pihak berkepentingan yang berlangsung selama empat hari di Vienna, dalam perjanjian yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

“Apa yang boleh dirundingkan dirundingkan, dan kini memasuki fasa terakhir. Bagaimanapun, di sebalik setiap isu teknikal dan setiap perenggan terdapat keputusan politik yang perlu dibuat,” menurut Borrell di Twitter.

Beliau berkata jika jawapan yang diterima “positif,” maka pihak berkaitan boleh membuat persetujuan secara rasmi. – Bernama, 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen