Jawatankuasa khas Muda pilih calon PRU15, kata ketua penerangan


Mohd Farhan Darwis

CALON pilihan raya Muda akan ditentukan oleh jawatankuasa khas dan bukannya oleh presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti, kata ketua penerangannya Luqman Long.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, Jawatankuasa Pemilihan Calon (JPC) akan membuat tapisan terperinci sebelum menugaskan calon di kawasan yang ingin ditandingi Muda.

“Kalau dilihat parti lain pemilihan calon ditentukan presiden dan pimpinan Pusat tapi di Muda kita nak institusikan cara parti kita memilih calon.

“Kita nak calon yang sudah ada rekod prestasi yang baik dengan komuniti dan rakyat, sasarannya sudah tentu Muda kita nak menang dalam PRU.

“Tetapi di peringkat ini Muda sedang dalam proses penubuhan JPC yang akan dimuktamadkan dalam minggu ini atau minggu depan,” kata Luqman dalam satu wawancara.

Jelasnya JPC akan dianggotai presidennya Syed Saddiq Abdul Rahman, ahli pemimpin pusat Muda, wakil peringkat negeri, anggota biro strategi dan juga biro politik.

Tambahnya Muda mahu calon dari golongan muda dan juga di kalangan wanita serta individu yang  dilihat mendekati rakyat.

“Sama ada mereka banyak keluarkan kenyataan atau banyak lawan dan suarakan isu semasa, isu rakyat (dan) turun padang,” kata Luqman, 27.

Peguam itu berkata, proses itu bagi menjamin hanya individu yang benar-benar layak akan dicalonkan dan mampu mengurangkan isu berbangkit selepas pencalonan.

Beliau bagaimanapun mengakui proses menentukan calon itu akan mengambil masa lebih lama berbanding amalan biasa parti politik lain.

“Ada yang tanya kalau buat macam ini melambatkan proses mencari calon. Betul, (ia) akan jadi sedikit lambat tetapi kita lebih nak proses dibuat dengan telus dahulu,” katanya.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan proses dan prosedur ditetapkan terlebih dahulu sebelum pemilihan calon dibuat mengikut kriteria.

“Kita tak nak (apabila) sudah pilih calon ada masalah, calon tiada rekod bekerjasama atau turun padang dengan rakyat, bukan calon yang ada latar belakang yang baik, contohnya.

“Kita tak nak perkara itu berlaku.. Daripada kita risau apa yang berlaku lebih baik kita siapkan awal-awal dan boleh diguna pakai untuk pilihan raya seterusnya,” tambahnya.

Muda kini menguasai kerusi Parlimen Muar dipegang presidennya Syed Saddiq sejak 2018, dan kerusi Dun Puteri Wangsa yang dimenangi Amirah Aisyah Abdul Aziz dalam PRN Johor.

Parti itu mempunyai keahlian sekitar 80,000 dan mensasarkan pertambahan sehingga 150,000 menjelang hujung tahun ini.

Luqman berkata, Muda juga yakin parti itu akan dapat meletakkan seramai mungkin calon muda dalam PRU15 untuk melawan budaya politik lama.

“Muda ditubuhkan selepas Langkah Sheraton (kerana) rakyat sudah berasa penat dengan situasi politik, ahli politik lompat parti dan sebagainya.

“Sebab itu Muda ditubuh untuk lawan politik lama, tua, lapuk. Itu idea yang kita nak bawa dan kita berusaha keras bawa isu ini ke peringkat seterusnya,” kata Luqman lagi. – 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen