Kerana Zainab adalah Zainab


Faisal Tehrani

PERNAHKAH kalian mendengar nama Zainab? Padahal Zainab itu juga cucunda Rasulullah saw. Betapa alpanya kita terhadap keluarga baginda Nabi sehingga kita kurang mengenal  mereka.

Beliau merupakan puteri kepada Saidina Ali dan juga Fatimah Zahra, dan adinda kepada Saidina Hasan dan Husin.

Apabila Zainab dilamar oleh sepupunya Abdullah bin Jaafar ibn Abi Talib, puteri Fatimah Zahra ini membuat syarat bahawa dia hendaklah diizinkan untuk menziarahi kekandanya Saidina Husin pada bila-bila masa yang dikehendaki, dan dibenar bermusafir bersama-sama baginda sepanjang masa.

Kelihatannya syarat itu kecil. Melainkan ada sesuatu yang besar akan berlaku.

Syarat itu sebetulnya mempunyai petunjuk dan natijah yang tidak difahami tatkala lamaran tersebut dilakukan. Syarat itu akan membawa Zainab dan anak-anaknya kemudian ke gurun pasir yang terasing. Padang yang diberi nama Karbala.

Ketika musim haji tahun 61 hijrah, berkantung surat, warkah, watikah dan ikrar mengundang Saidina Husin ke Kufah telah tiba; kandungannya berisi pujukan buat baginda Husin ke Iraq.

Kempen Muawiyah yang mengingkari perjanjiannya dengan Saidina Hasan kini tiba ke Madinah, merebak ke Iraq; dan pertabalan Yazid sebagai raja sama sekali menyalahi apa yang dianjurkan oleh Islam. Lebih dahsyat tunjang monoteisme yang dibawa oleh Rasulullah saw lebih 50 tahun sebelumnya sedang digugat oleh kuasa monarki.

Suami Zainab mengizinkan isterinya itu berangkat bersama-sama kekandanya Husin ke Iraq, bukan sahaja kerana itu merupakan syarat pernikahan mereka, tetapi kerana dirinya sendiri yang dikatakan sudah hilang penglihatan tidak berdaya untuk ikut serta. Dengan Zainab, dua anak remaja lelakinya Aun dan Muhammad dihantar mengiringi ibu mereka.

Sebelum rombongan berlepas pergi, Abdullah bin Jaafar melirik sepucuk surat yang memesankan kepada anak-anaknya. Isi surat itu lebih kurang begini: “Ke mana sahaja pak cik kalian pergi hendaklah kalian akur bersama-samanya.

“Jika pak cik kalian Husin berpatah balik, maka ikutlah berpulang; akan tetapi jika pak cik kalian meneruskan perjalanan ke Kufah maka ikutlah bersama-samanya.

“Sebagai bapa aku mengizinkan kalian melakukan apa sahaja demi Husin kerana aku sendiri berhalangan.”

Warkah itu diberikan kepada Zainab untuk dibawa bersama.

Apabila rombongan Saidina Husin bersama-sama sahabat, dan ahli keluarganya dikepung di padang pasir Karbala – ketika perang sedang memuncak pada hari 10 Muharam di tahun 61 hijrah itu, seorang demi seorang anak-anak Saidina Husin telah terbunuh dan dicantas kepala mereka oleh tentera Yazid dengan pimpinan komandan Umar bin Saad dan Ibnu Ziyad.

Aun dan Muhammad berlegar-legar di hadapan pak cik mereka menuntut perhatian. Sebagai remaja mereka terlihat berusaha mengisyaratkan agar Saidina Husin memerhatikan.

Pedang mereka dijatuhkan di atas tanah, rengus mereka menagih agar diizinkan masuk ke medan perang, dan terendak kepala diketuk-ketuk agar Saidina Husin memahami apa yang mereka inginkan.

Keinginan mereka itu hanyalah satu, iaitu agar beroleh juga peluang untuk membela masa depan Islam seperti yang diajarkan oleh nenda mereka, Rasulullah saw.

Islam terancam untuk binasa berantakan kerana korupsi berleluasa. Rasuah sedang berkesiuran, maksiat menjadi norma dan agama Islam sama sekali berbeza.

Kempen Husin adalah kempen islah, seruan reformasi untuk membetulkan akidah dan hukum yang kian berpesongan. Justeru Aun dan Muhamad tidak mahu terlepas kesempatan ini.

Mereka melihat sepupu yang merupakan anak-anak dan sahabat Saidina Husin sudah pun terkorban. Jenazah suci Ali Akbar misalnya di khemah sudah bercincangan sedang diratapi para perempuan. Ali Akbar dikatakan paling persis datuk mereka iaitu Rasulullah saw dari segi rupa paras, akhlak dan juga bahasanya.

Pak cik mereka yang lain al-Abbas, yang sering mengajarkan ilmu pertahanan diri juga kelihatannya tidak dapat memberikan apa yang mereka inginkan. Iaitu kebenaran untuk turun berperang, melawan satu berdepan satu.

Saidina Husin kelihatannya seolah-olah, seibarat tidak mengerti gejolak remaja itu. Akhirnya Aun dan Muhamad membawa diri ke khemah ibu mereka, Zainab.

Melihat anaknya yang serba tidak kena dan keresahan, Zainab segera tahu apa yang dikepinginkan. Zainab menyatakan: “Anak-anakku, ayuh marilah aku bersama-sama kalian ke khemah Aba Abdillah dan memberitahu apa yang kalian perlukan.”

Di hadapan Saidina Husin, Zainab cuba mewajarkan. “Apakah kurangnya anak-anakku berbanding anak-anakmu dan sahabat lainnya kerana mereka tidak dibenarkan turun ke lapangan?”

Sungguh Saidina Husin sebak dan bersuara, “Wahai Zainab kesayanganku. Sungguh aku mencintai anak-anakmu seperti anak-anakku juga. Ketahuilah Aun dan Muhamad adalah amanah buatku. Bahawa ayah mereka tiada bersama, bagaimanakah aku dapat mengizinkan kedua-duanya ke medan sana? Apakah yang akan aku balas kepada Abdullah bin Jaafar kelak?”

Momen itulah Zainab mengeluarkan warkah suaminya. “Inilah pesan suamiku, ayah kepada Aun dan Muhamad agar kamu Aba Abdillah membenarkan mereka ke medan sana…”

Kelihatannya Saidina Husin masih keberatan.

Untuk itu Zainab bersuara, “Duhai Husin, izinkan aku menyebut sesuatu tentang Madinah.”

Ketika itu Husin menitiskan air mata, “Wahai Zainab, usah… usah disebutkan tentang Madinah. Aku tidak kuat.”

Kata Zainab lebih kurangnya begini, “Masihkah kau abangku ingat betapa remuknya perasaan kita, ingatkah kamu bagaimana luluhnya perasaan abang kita, “Saidina Hasan melihat ibu kita, Fatimah Zahra selepas kewafatan Rasulullah saw?”

Atas kata-kata yang penuh sembilu ini, Saidina Husin akhirnya membenarkan anak-anak saudaranya untuk berangkat ke medan perang. Masih dengan dada yang menekan.

Sebelum Aun dan Muhammad turun ke lapangan, Zainab merapikan rambut anak-anaknya, menciumi pipi mereka; membetulkan baju besi dan mengetuk dada pemuda-pemuda hebat itu seraya mengatakan: “Pergilah dan pertahankan agama datuk kalian, pergilah dan sampaikan salamku kepada abahku dan juga ibuku. Semoga kalian berjaya beroleh syurga. Sesungguhnya inilah pertukaran Ismail untuk Ibrahim yang tidak ramai pernah menyangka.”

Aun dan Muhamad bertutur dengan penuh lemah lembut, “Ibu sepemergian kami kelak, berjanjilah ibu tidak akan menangisi kami. Sesungguhnya kami melakukan ini demi akidah yang suci.”

Dalam riwayat, Aun dan Muhamad dengan penuh berani dan tangkas menebas musuh. Segala penjahat di sebelah Umaiyyah terkesima dan kehairanan, siapakah remaja yang belum berjambang ini dengan semangat dan kepahlawanan luar biasa.

Sebaik musuh mengetahui mereka punya darah Jaafar dan Ali bin Abi Talib, musuh maklum bahawa perang satu dengan satu tidak akan membawa kejayaan. Maka tanpa kejantanan, musuh menyerbu mereka berdua dari belakang bagai lakunya samseng dan melutu kedua-dua Aun dan Muhamad sehingga jatuh dari kuda.

Tubuh badan anak-anak itu diketuk dan disesah dengan belantan, pedang, lembing dan panah. Jatuhlah cucu-cucunya Fatimah Zahra.

Apabila anak-anak Zainab berteriak buat kali terakhir, Saidina Husin datang membawakan kesaksian: “Sesungguhnya kedua-dua kalian telah menyahut Labayka Ya Husin.”

Di khemah wanita, Zainab berada di atas sejadah. Menahan esak tangis. Ketika Saidina Husin datang kembali membawakan jenazah anak-anaknya, Zainab tidak bingkas dari sejadah. Kata Zainab syahdu, “Aku tidak tergamak menelah wajah kekandaku Husin.”

Itulah yang terjadi pada 10 Muharam.

Setelah kecelakaan di Karbala, Zainab dibawa dengan penuh keseksaan ke Kufah dan kemudian digiring sebagai tawanan ke kota Syams. Apabila akhirnya setelah beberapa lama Zainab melakukan perjalanan pulang ke Madinah, diriwayatkan suaminya menanti kepulangan rombongan itu.

Abdullah bin Jaafar mencari-cari isterinya, tetapi tidak ditemui. Sehinggalah Abdullah bertanya kepada seorang wanita yang tidak dikenali, begitu kusut dan tua rupanya, “Wahai perempuan, tahukah kamu di manakah isteriku Zainab?”

Wanita yang disoal itu menangis lantas berkata, “Duhai suamiku, akulah isterimu Zainab. Tetapi tidaklah aku menyalahkanmu lantaran tidak mengenaliku. Jika kamu tahu bagaimana aku telah melihat kepala-kepala suci yang tertancap di hujung lembing sepanjang perjalanan dari Karbala ke Kufah, dan kemudian diarak ke Syams, dan kemudian berpatah semula ke Karbala; seandainya kamu tahu bagaimana musuh telah menggali dengan penuh rakus kuburan Ali Ashgar yang baru berusia enam bulan untuk beroleh ganjaran dengan memenggal kepala bayi itu; jikalau kamu tahu apa rasanya melihat umat yang mengaku pengikut Islam dan penganut agama datukku, Rasulullah saw menghinaku sepanjang perjalanan; aku tentu saja tidak menyalahkan kau suamiku kerana tidak mengenaliku.”

Abdullah berteriak, “Ya Rasulullah saw, Ya Ali… wahai Zahra terimalah korban kami, Aun dan Muhamad.”

Zainab demikian terkesan oleh trauma musibah di Karbala, dan meninggal dunia tidak lama kemudian. Rambutnya memutih lantaran penanggungan derita.

Demikian terlindung Zainab daripada kita semua, sehingga tidak ramai yang mengenalinya. Padahal kerana pengorbanan yang disajikan oleh Zainab untuk kita itu telah membolehkan monoteisme ini dilindungi daripada menjadi jadah jahanam di tangan raja-raja Umaiyyah.

Demikian kerana Zainab adalah Zainab.

Namun, kenalkah kalian akan Zainab? – 9 Ogos, 2022.
 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen