Bersatu akan perkukuh pentadbiran Ismail Sabri, kata Azmin


Kalidevi Mogan Kumarappa

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa Bersatu akan tetap memperkukuhkan kerajaan sedia ada menerusi gabungan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2022.

BERSATU akan tetap memperkukuh kerajaan sedia ada melalui gabungan Perikatan Nasional (PN) kata pemimpin kanannya Azmin Ali.

Anggota Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu itu menegaskan demikian ketika ditanya sama ada parti itu menarik sokongan ke atas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Jawapan saya mudah, saya dan rakan-rakan dalam Bersatu dan PN mengambil tanggungjawab memperkukuhkan kerajaan yang ada kerana kerajaan sedia ada gabungan melibatkan komponen terbesar PN.

“Kerajaan stabil dan kuat rakyat akan dapat manfaat dan negara kita akan makmur, insya Allah,” katanya kepada pemberita di Serdang, Selangor hari ini.

Ketika ditanya selanjutnya, menteri kanan perdagangan antarabangsa itu bagaimanapun enggan mengulas sekiranya benar beliau dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri oleh Bersatu.

Perkembangan itu rentetan dari pertemuan yang sepatutnya berlangsung di antara delegasi PN pada Jumaat bagi membincangkan isu berkenaan, namun dilaporkan dibatalkan di saat akhir.

Tuntutan bagi jawatan itu dilaporkan sebagai antara perjanjian bagi meraih sokongan Bersatu ke atas pentadbiran Ismail.

Pembatalan pertemuan itu menyebabkan PN hilang sabar terhadap Ismail Sabri, menurut satu laporan The Star.

Selain jawatan timbalan perdana menteri, laporan itu menyebut Bersatu menuntut agar Ismail Sabri berbincang dengan parti tersebut sebelum menentukan tarikh PRU15.

Ismail seterusnya semalam mengumumkan pilihan raya akan dilakukan segera sekiranya PN menarik sokongan ke atas pentadbirannya.

Azmin ditemui pemberita hari ini sewaktu hadir ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2022. – 8 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen