Muzium London kembalikan artifak Afrika yang dirampas


Sebuah muzium terkemuka di UK umum merancang untuk memulangkan 72 artifak Afrika yang dirampas ketika zaman penjajahan Empayar British. – Gambar fail AFP, 8 Ogos, 2022.

SEBUAH muzium terkemuka di United Kingdom (UK) pada Ahad mengumumkan pihaknya merancang untuk memulangkan 72 artifak Afrika yang dirampas ketika zaman penjajahan Empayar British.

Muzium Horniman di selatan London bersetuju untuk mengembalikan artifak terkenal, termasuk beberapa gangsa Benin, kepada kerajaan Nigeria selepas menerima permintaan daripada Suruhanjaya Kebangsaan bagi Muzium dan Monumen (NCMM) negara itu, lapor Agensi Anadolu.

“Terdapat bukti yang sangat jelas, objek ini diperoleh melalui kekerasan, dan rundingan luar menyokong pandangan kami adalah bermoral dan wajar untuk mengembalikan pemilikan mereka kepada Nigeria.

“Horniman berbesar hati dapat mengambil langkah ini dan kami berharap dapat bekerjasama dengan NCMM untuk mendapatkan penjagaan jangka panjang bagi artifak berharga ini,” kata pengerusi pemegang amanah muzium itu, Eve Salomon dalam satu kenyataan media.

Artifak berkenaan dialih secara paksa dari penempatan purba Bandar Benin di Nigeria oleh penjajah British selepas pencerobohan tentera pada 1897.

Koleksi itu termasuk 12 plak tembaga, yang dikenali sebagai gangsa Benin, sekeping mezbah berbentuk ayam jantan tembaga, gading dan objek upacara sembahan, loceng tembaga, barangan harian seperti kipas dan bakul, dan kunci “istana raja”.

“Kami sangat mengalu-alukan keputusan yang dibuat Pemegang Amanah Muzium dan Taman Horniman.

“Selepas pengesahan Suruhanjaya Amal, kami menantikan perbincangan yang produktif mengenai perjanjian pinjaman dan kerjasama antara Suruhanjaya Kebangsaan bagi Muzium dan Monumen serta Horniman,” kata ketua pengarah NMM, Abba Tijani.

Muzium London menerima permintaan daripada NMM pada Januari tahun ini dan menjalankan analisis menyeluruh terhadap objek bagi memastikan artifak yang memenuhi permintaan suruhanjaya itu. – Bernama, 8 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen