Presiden Mexico gesa giat usaha selamatkan pelombong terperangkap


Hampir 400 tentera dan kakitangan lain termasuk enam penyelam skuba tentera menyertai operasi menyelamat pelombong arang batu terperangkap di Mexico. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2022.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador melawat kawasan lombong arang batu yang dilanda bencana untuk melihat secara langsung operasi menyelamat 10 pekerja yang terperangkap.

Keluarga mangsa yang masih hilang bimbang masa semakin suntuk untuk menyelamatkan mereka selepas lombong di Coahuila itu dilanda banjir sejak empat hari lalu.

Hampir 400 tentera dan kakitangan lain termasuk enam penyelam skuba tentera menyertai operasi menyelamat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata setakat ini terlalu berbahaya untuk masuk ke lombong berkenaan.

“Saya akan melihat bagaimana operasi menyelamat dijalankan dan akan ke sana,” kata Lopez Obrador kepada pemberita sebelum pergi ke tapak di Agujita, di perbandaran Sabinas.

Beliau sebelum ini mengisytiharkan Sabtu lalu sebagai “hari penentuan” operasi itu.

“Menurut pakar, kami akan tahu sama ada penyelam boleh masuk dengan selamat,” katanya di Twitter.

Tumpuan dalam operasi itu adalah untuk mengepam keluar air dari lombong bagi menjadikannya cukup selamat untuk turun ke dalam lombong dengan kedalaman 60 meter.

Lima pekerja berjaya menyelamatkan diri dan keluar dari lombong berkenaan ketika bencana itu mula-mula berlaku.

Namun sejak itu, tiada mangsa yang ditemui dan dilaporkan terselamat.

Kerajaan negeri Coahuila berkata pelombong terbabit sedang menjalankan kerja penggalian ketika mereka melanggar kawasan bersebelahan yang dipenuhi air.

Pada lewat malam kelmarin, air di dalam lombong itu surut hanya kira-kira 9.5 meter daripada 34 meter pada peringkat awal, kata pihak berkuasa kepada waris mangsa. – AFP, 8 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen