PEMIMPIN Warisan dan PKR Sabah bertemu pada majlis jana dana malam tadi ketika kerjasama antara parti pembangkang di Sabah semakin erat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presiden Warisan Shafie Apdal juga bertemu dengan Pengerusi DAP Sabah di Sandakan minggu lepas di rumah ahli Parlimennya bagi sambutan Tahun Baru Cina.
Malam tadi, Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna dan Presiden PKR Dr Wan Azizah, Ketua PKR Sabah Christina Liew dan Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad adalah empat pemimpin yang berucap mengenai kemiskinan di Sabah dan politikus korup parti pemerintah Barisan Nasional di depan kira-kira 2,000 tetamu di Dewan Persatuan Hakka di Kota Kinabalu.
Liew berkata undi kepada BN pada pilihan raya akan datang bermakna undi kepada korupsi dan wakil rakyat yang hanya berminat membuat dasar tidak menguntungkan orang Sabah.
“Lihat sahaja skandal air (Jabatan Air Sabah), siasatan korupsi keretapi Sabah, pihak berkuasa jumpa ratusan juta ringgit.”
Liew merujuk kepada skandal rasuah Jabatan Air Sabah dan Jabatan Keretapi Sabah yang berlaku baru-baru ini.
“Bila saya tanya mana duit yang dirampas pihak berkuasa di Dewan Undangan Negeri, Ketua Menteri (Musa Aman) tak jawab,” katanya dalam ucapan di majlis jana dana anjuran Society of Hope itu.
Society of Hope adalah organisasi kebajikan bukan kerajaan diterajui Liew.
Liew berikrar akan bertindak ke atas skandal korupsi itu jika pembangkang berkuasa, mengatakan “ada pihak perlu bertanggungjawab” dan “ada orang yang perlu ke penjara.”
Nik Nazmi pula mengatakan yang beliau banyak kali bertemu anak muda Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia yang terpaksa berhijrah kerana tiada kerja untuk mereka di negeri Bawah Bayu itu.
“Bila saya bercakap dengan mereka, mereka semua tak sabar untuk perubahan berlaku di Sabah. Mereka mahu bekerja dan membantu bangunkan negeri,” katanya.
Shafie pula mengatakan aneh bagi Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam tetapi masih mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
Beliau turut berikrar jika pembangkang membentuk kerajaan, mereka akan memastikan agihan kekayaan saksama kepada penduduk Sabah dan menghapuskan kemiskinan terutama di kawasan pendalaman negeri itu.
“Susah bawah kerajaan BN. Masih ramai penduduk Sabah di kawasan seperti Kota Marudu dan Pensiangan miskin dan sangat perlukan bantuan. Kami mahu bantu mereka supaya mereka ada kehidupan lebih baik. Bukan hanya untuk (ketua menteri) Musa Aman,” katanya.
Shafie juga mahu menghapuskan sistem politik berasaskan kaum digunakan parti pemerintah BN, mengatakan Warisan adalah parti pelbagai kaum yang akan memastikan kebajikan semua kaum di Sabah terpelihara.
Bagaimanapun, beliau juga menekankan perubahan tidak boleh sekadar berlaku di Sabah, tetapi juga di peringkat persekutuan, mengatakan Warisan akan memberikan sokongan penuh kepada Pakatan Harapan (PH) menumpaskan BN bagi membentuk kerajaan persekutuan.
“Kami akan mengundi untuk kerajaan baru dan dunia akan tahu bila adanya kerajaan baru di rantau ini. Saya tahu kita boleh buat lebih baik daripada Najib dan Musa,” katanya menambah yang harapannya agar pengundi Sabah tidak merosakkan undi mereka pada PRU14.
Ketika Wan Azizah dipanggil memberikan ucapan, laungan “Reformasi” mula bergema.
“Apa jenis negara kita bila indeks korupsi kita jatuh? Apa jenis sistem kehakiman bila orang yang bongkarkan skandal National Feedlot Sdn Bhd (NFC) dipenjara?” soalnya merujuk kepada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana mendedahkan butiran akaun berkaitan NFC dan pengerusinya Mohamad Salleh Ismail.
“Saya perlu akui yang projek bela lembu idea yang baik tetapi peruntukan digunakan untuk beli kondominium pula.”
Katanya, rakyat Malaysia perlu bangkit apabila seorang yang tidak bersalah dipenjara kerana membongkar ketidakadilan dan perlu mengundi kerajaan baru yang akan menggantikan sistem kehakiman sedia ada.
“Tanggungjawab sebuah kerajaan yang baik adalah memastikan masa depan kita terbela. Bukan hanya untuk beberapa orang politikus penuhkan poket mereka. Rakyat Malaysia perlu sedar yang cukup-cukuplah perkara itu (korupsi dan salah tadbir).” – 24 Februari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan