ASEAN perlu merangka formula baharu untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, kata ahli pengasas Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) Yanghee Lee.
“Konsensus Lima Perkara (5PC) jelas tidak berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
5PC, yang dipersetujui ketika mesyuarat pemimpin Asean di Jakarta pada April 2021, menggesa keganasan dihentikan segera di negara itu, diadakan dialog membabitkan pihak berkenaan, pelantikan utusan khas Asean untuk memudahkan pengantaraan, penyediaan bantuan kemanusiaan oleh Asean dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk bertemu semua pihak.
Bagaimanapun, 5PC gagal membuahkan hasil seperti yang diharapkan selepas lebih satu tahun persetujuan mengenai perkara itu dimeterai.
Lee berkata, pemimpin Asean perlu berhenti berharap ketua tentera Min Aung Hlaing untuk melaksanakan 5PC.
“Rampasan kuasanya gagal… beliau tidak mempunyai strategi,” katanya.
Menteri Luar sembilan daripada 10 negara anggota Asean mengakhiri mesyuarat ke-55 dan mesyuarat berkaitan selepas bersidang tiga hari di Phnom Penh pada Jumaat dengan menyuarakan kekecewaan terhadap komitmen dan kemajuan kurang memberangsangkan ditunjukkan junta Myanmar dalam melaksanakan 5PC.
Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin tidak dijemput menghadiri AMM-55.
Dalam pernyataan bersama selepas AMM-55, blok itu juga memaklumkan Sidang Kemuncak Asean pada November adalah platform untuk menilai kemajuan pelaksanaan 5PC oleh majlis pentadbiran negeri di bawah junta bagi membimbing keputusan mengenai langkah yang perlu diambil seterusnya.
Keputusan boleh dibuat oleh Sidang Kemuncak Asean dalam situasi yang mana konsensus antara 10 negara anggota Asean tidak dapat dicapai, menurut Perkara 20 Piagam Asean.
Sementara itu, seorang lagi pengasas SAC-M, Marzuki Darusman berkata, keputusan mesyuarat menteri Asean meletakkan asas kukuh untuk penilaian pemimpin Asean pada November.
“Sidang kemuncak (November) mesti menjadi titik perubahan bagi Asean.
“Semakin lambat Asean mengambil tindakan, semakin besar penderitaan rakyat Myanmar.
“Sekurang-kurangnya, keganasan mesti dihentikan.
“Junta perlu menanggung akibat dan semua mata bakal tertumpu kepada sidang kemuncak itu untuk mengambil sebarang tindakan,” katanya.
Pada 2 Ogos, sehari sebelum AMM-55, Hlaing berkata beberapa perkara dalam 5PC yang dipersetujui dengan Asean untuk menamatkan krisis berterusan negara itu akan dilaksanakan tahun ini.
Pada Rabu, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen selaku pengerusi Asean berkata jika junta Myanmar menghukum lebih ramai tahanan, blok itu terpaksa memikirkan semula peranan ‘5PC Asean’. – Bernama, 7 Ogos, 2022.
Komen