China pendekkan penggantungan penerbangan antarabangsa


Penerbangan yang mencatat kadar positif penumpang 8% akan dihalang selama dua minggu, kata CAAC. – Gambar fail EPA, 7 Ogos, 2022.

CHINA pada Ahad memendekkan tempoh penggantungan bagi kemasukan penerbangan antarabangsa yang membawa penumpang positif Covid-19, menandakan Beijing kini melonggarkan kawalan sempadannya.

Penerbangan masuk yang membawa lima kes positif Covid-19, atau 4% daripada jumlah penumpang, kini akan menghadapi pengurangan penggantungan seminggu, kata Pentadbiran Penerbangan Awam (CAAC) dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, jika sebuah pesawat membawa masuk lima penumpang yang dijangkiti, semua penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan bertanggungjawab di laluan yang sama digantung selama dua minggu.

Penerbangan yang mencatat kadar positif penumpang 8% akan dihalang selama dua minggu, kata CAAC.

Mekanisme itu menyebabkan perjalanan menjadi huru-hara, dengan penerbangan ke China dibatalkan secara tiba-tiba tanpa boleh menempah semula selama beberapa minggu.

China satu-satunya negara ekonomi utama yang masih berpegang teguh kepada strategi sifar-Covid dengan penutupan segera dan tempoh kuarantin yang lama.

Sempadan negara juga sebahagian besarnya ditutup sejak awal 2020, menyekat pelancongan antarabangsa.

Beratus-ratus ribu pelajar dan pekerja China di luar negara terkandas dan mengadu mereka terpaksa membayar harga terlalu tinggi untuk membeli tiket pulang, ketika bilangan penerbangan yang terhad memasuki negara itu secara rutin digantung. – AFP, 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen