Serangan udara Israel, lagi komander Jihad Islam terbunuh


Penduduk Palestin mencari mangsa dalam runtuhan bangunan kediaman berikutan serangan Israel yang dilaporkan di Rafah selatan Semenanjung Gaza, semalam. – Gambar AFP, 7 Ogos, 2022.

KOMANDER Kanan Jihad Islam Palestin (JIP) Khaled Mansour disahkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza menurut sayap kumpulan bersenjata, Briged Al-Quds pada Ahad.

Mansour terbunuh dalam serangan udara Israel yang mensasarkan bandar Rafah pada malam Sabtu lapor Sputnik.

Sebelum ini Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan seorang komander kanan Jihad Islam di utara Gaza, Tayseer Jabari terbunuh dalam serangan udara Israel pada Jumaat.

IDF melancarkan operasi yang digelar Breaking Dawn terhadap gerakan Jihad Islam Palestin di Semenanjung Gaza pada Jumaat.

Selepas Jabari terbunuh dalam serangan itu ketua Jihad Islam Ziyad Nakhalah mengancam untuk bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Tel Aviv.

Israel menangkis serangan peluru berpandu dan melancarkan serangan baharu ke atas Semenanjung Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan pada Sabtu sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh manakala 215 lagi cedera akibat operasi Breaking Dawn oleh Israel.

Ketua biro politik Jihad Islam Khaled al-Batsh memberitahu media pada Sabtu JIP tidak mempunyai pilihan lain selain mempertahankan diri dan rakyat Palestin daripada ancaman Israel.

Selepas membuat penilaian mengenai situasi semasa di sekitar Semenanjung Gaza dengan penglibatan ketua-ketua agensi penguatkuasaan undang-undang Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz mengarahkan tenteranya meneruskan operasi Breaking Dawn pada Sabtu.

Pejabat media IDF memberitahu Sputnik bahawa tentera Israel sedang bersiap sedia untuk melaksanakan operasi Breaking Dawn di Semenanjung Gaza selama seminggu. – Bernama, 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen