Sertai PBB ikut kehendak pengundi, kata Willie Mongin


Willie Mongin memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada 2018 menerusi tiket PKR. – Gambar Facebook, 7 Ogos, 2022.

KEPUTUSAN untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukanlah keputusan yang dibuat sendiri tetapi menerima pandangan daripada pengundinya kata ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin.

Bersyukur kerana beliau kini secara rasmi menjadi ahli PBB, Willie juga meminta sokongan berterusan daripada pengundi kawasan Puncak Borneo.

“Ketika (pertukaran) kerajaan pada 2020, saya memuat naik (status) di Facebook saya bertanya pandangan mereka (pengundi) dan meminta mereka maklumkan kepada saya secara peribadi. Saya rujuk kepada pemimpin di kawasan saya, sebelum saya buat keputusan (untuk masuk parti Bersatu). Perkara sama saya lakukan sebelum saya buat permohonan (PBB).

“Jadi saya harap mereka akan sokong saya kerana percaya ia keputusan bersama dan saya ada minta pandangan mereka. Bukan pandangan saya sendiri, tetapi sebahagian daripada permintaan mereka, dan saya sebenarnya hanya memenuhi permintaan mereka seperti yang dibincangkan,” katanya kepada media di Kuching hari ini.

Semalam, Presiden PBB Abang Johari Openg mengumumkan parti itu menerima Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dari Bersatu yang memohon menyertai PBB awal tahun ini sebagai ahli biasanya.

Beliau memenangi kerusi Puncak Borneo pada 2018 atas tiket PKR, namun digugurkan bersama beberapa ahli Parlimen lain daripada parti itu pada 2020, kerana menyokong timbalan presiden ketika itu Mohammed Azmin Ali.

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi sama pada pilihan raya umum akan datang, Willie berkata, ia bergantung kepada kebijaksanaan Presiden PBB dan pimpinan parti untuk membuat keputusan. – Bernama, 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen