Pejabat ganti tadika, DBKL rancang adakan pendengaran awam untuk penduduk TTDI


Noel Achariam

Cadangan pembinaan pejabat komersial menggantikan tadika di TTDI kini isu pembangunan terbaru mendapat tentangan penduduk perumahan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2018.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang mengadakan sesi pendengaran awam bagi penduduk yang terjejas dengan cadangan projek pembinaan di Taman Tun Dr Ismail.

Pengarah Jabatan Perancangan DBKL Sulaiman Mohamed berkata projek itu terletak di bawah Perintah 5 Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

Sulaiman berkata DBKL sudah meletakkan notis pemberitahuan di tapak projek meminta penduduk memberikan pandangan tentang cadangan projek itu.

“Mereka boleh beri bantahan atau sokongan kepada projek itu. Itu prosesnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perintah 5 adalah peruntukan di bawah DBKL memerlukan majlis itu memaklumkan penduduk tentang cadangan projek di kawasan kejiranan mereka.

Ia akan dilakukan menerusi pemberitahuan menjemput bantahan kepada rancangan pembangunan melibatkan perubahan penggunaan tanah, penzonan semula atau peningkatan kepadatan penduduk.

Penduduk kawasan itu tidak gembira dengan cadangan membina bangunan pejabat menggantikan tadika di Jalan Lorong Sulaiman 1, TTDI.

Projek itu terdiri daripada dua blok tujuh tingkat bangunan pejabat dengan parkir bawah tanah.

Pemaju juga merancang mengubah status tanah daripada kediaman kepada komersial.

Sulaiman mengatakan penduduk mempunyai masa sehingga 28 Februari (Rabu) untuk mengemukakan cadangan mereka.

Katanya lagi, DBKL sudah menerbitkan maklumat lanjut mengenai projek itu dalam akhbar utama negara pada 13 hingga 15 Februari.

DBKL akan mengadakan pendengaran awam selepas menyemak bantahan terhadap cadangan pembangunan itu, kata Sulaiman.

“Jabatan Perancangan DBKL akan menilai semua bantahan dan cadangan dan akan memutuskan sekiranya pendengaran awam perlu diadakan.

“Kami akan menilai bantahan dikemukan oleh mereka yang tinggal berhampiran tapak projek dan mereka yang tinggal 20 meter dari sempadan pembangunan itu.”

Sulaiman menambah yang Datuk Bandar Mohd Amin Nordin Abd Aziz juga boleh mendengar bantahan penduduk.

“Penduduk mempunyai tempoh dua minggu mengemukakan bantahan mereka. Selepas itu kami mempunyai dua minggu untuk mengadakan pendengaran awam kepada mereka yang layak didengar.

“Jabatan Perancangan akan bermesyuarat dan membuat keputusan tentang pendengaran awam itu.”

Naib Presiden Persatuan Penduduk TTDI Clinton Ang berkata bukan hak DBKL untuk memutuskan sama ada mereka akan mengadakan pendengaran awam atau tidak.

“Berdasarkan Perintah 5, mereka perlu adakan pendengaran awam.

“Tetapi sepatutnya awal-awal lagi mereka tak perlu melayan cadangan sebegitu kerana tanah itu sudah digazetkan sebagai tanah kediaman dan kami akan menentang perubahan itu bersungguh-sungguh,” katanya. – 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen