SEBAHAGIAN loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia di Ukraine “rosak teruk” kerana serangan sehingga menyebabkan salah satu reaktornya terpaksa ditutup, kata pengendali loji semalam.
Serangan pada Jumaat ke atas loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia di selatan Ukraine- kompleks tenaga atom terbesar di Eropah- menyebabkan kerosakan teruk ke atas stesen mengandungi nitrogen dan oksigen dan “bangunan keselamatan”, kata Energoatom menerusi Telegram.
Kyiv dan Moscow masing-masing menuding jari ke atas serangan itu.
Serangan itu merosakkan kabel kuasa, memaksa penutupan salah satu reactor dan “wujud risiko kebocoran hydrogen dan bahan radioaktif dan risiko kebakaran”, kata Energoatom.
Serpihan letupan juga “menyebabkan risiko serius ke atas keselamatan operasi jana kuasa”.
Tentera Rusia menakluk loji Zaporizhzhia sejak awal pencerobohan dan Kyiv mendakwa mereka menyimpan senjata berat di situ.
Moscow menuduh tentera Ukraine menyasarkan loji jana kuasa itu.
Kesatuan Eropah mengecam Rusia atas serangan itu.
“Kesatuan Eropah mengecam aktiviti tentera Rusia di sekitar loji jana kuasa Zaporizhzhia,” tulis diplomat kanan blok ekonomi itu Josep Borrell di Twitter.
“Ini adalah pelanggaran serius dan tidak bertanggungjawab peraturan keselamatan nuklear dan satu lagi contoh pengabaian Rusia kepada norma antarabangsa.”
Borrell mendesak agensi pemantau nuklear PBB, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa diberikan akses melawat loji itu.
IAEA turut meluahkan kebimbangan semalam, sejak berminggu lepas mereka cuba mendapatkan kebenaran untuk memeriksa loji itu.
Ukraine bagaimanapun menolak permintaan itu, berkata ia akan menjadi asbab kepada penaklukan Rusia ke atas loji itu di peringkat antarabangsa.
Ia berkata pekerja warga Rusia sudah meninggalkan loji itu sebelum serangan tetapi pekerja warga Ukraine masih berada di loji itu yang masih beroperasi untuk menjana bekalan elektrik.
Awal minggu ini, IAEA menyifatkan situasi loji nuklear itu sebagai “sangat bahaya”.
“Semua prinsip keselamatan sudah dilanggar,” katanya. – AFP, 7 Ogos, 2022.
Komen