Suruhanjaya pilihan raya kata parti Imran Khan terima dana asing


Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan mendapati parti Khan menyembunyikan 16 akaun bank dan menerima sumbangan warga atau kumpulan asing berpangkalan di Australia, Kanada, UAE dan Kepulauan Cayman. – Gambar AFP, 7 Ogos, 2022.

PARTI bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan menerima jutaan dolar derma haram daripada warga dan kumpulan asing, menurut siasatan Suruhanjaya Pilihan Raya pada Selasa.

Siasatan itu melibatkan aktiviti bermula sejak 2014 apabila ahli pengasas Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) memfailkan kes terhadap kepimpinan parti mendakwa wujudnya kepelikan kewangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan mendapati parti Khan menyembunyikan 16 akaun bank dan menerima sumbangan warga atau kumpulan asing berpangkalan di Australia, Kanada, UAE dan Kepulauan Cayman.

Undang-undang Pakistan melarang parti politik menerima dana dan sumbangan daripada individu atau syarikat asing.

Suruhanjaya juga berkata butiran kewangan dihantar Khan “didapati sangat tidak tepat”.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif- yang berkuasa pada April selepas Khan disingkirkan- berkata keputusan suruhanjaya membuktikan “sekali lagi yang dia (Khan) sahih menipu”.

“Negara patut bertanyakan apakah kesan politiknya dibiayai orang luar,” kata Sharif di Twitternya pada Selasa.

Parti Khan menafikan semua tuduhan itu.

Dalam maklum balas, pemimpin kanan PTI Fawad Chaudry berkata parti itu menerima dana daripada “warga Pakistan di luar negara” dan bukannya warga asing.

“Warga Pakistan di luar negara adalah tulang belakang ekonomi Pakistan dan kita seharusnya terus bergantung kepada mereka untuk pembiayaan,” kata Chaudhry kepada wartawan.

Khan, juara kriket yang menjadi ahli politik mula berkuasa pada 2018 disebabkan rakyat sudah penat dengan krisis politik yang berpanjangan melibatkan dua parti utama di negara itu, dengan beliau menjanjikan penghapusan korupsi dan kronisme yang membelenggu negara itu.

Tetapi pada April beliau disingkirkan menerusi undi tidak percaya disebabkan kegagalan beliau bertindak ke atas krisis ekonomi yang semakin meruncing, hutang negara makin meninggi, masalah rizab simpanan asing dan inflasi yang makin melonjak.

Beliau juga dilaporkan sudah tidak sebulu dengan tentera negara itu yang sangat berkuasa.

Khan mula menjelajah negara itu, mendakwa beliau menjadi mangsa “konspirasi asing” untuk memberi tekanan kepada pembangkang yang kini memerintah.

Notis sudah dihantar kepada PTI untuk menjelaskan dana haram itu atau ia boleh mencabar keputusan suruhanjaya di mahkamah.

Suruhanjaya juga boleh memulakan tindakan untuk menyita dana itu dan kerajaan boleh membawa kes itu ke mahkamah bagi mengharamkan parti Khan, PTI.

Bagaimanapun, pakar perundangan Osama Malik berkata: “Secara politiknya sangat tidak ideal untuk satu parti berusaha mengharamkan pesaing politik mereka.”

Suruhanjaya juga sedang menyiasat dana asing melibatkan dua parti utama di negara itu- parti pemerintah PML-N dan rakan politiknya, Parti Rakyat Pakistan (PPP). – AFP, 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen