Ketibaan kapal bawa bijiran Ukraine di Lubnan ditangguh


Ukraine dibenarkan mengeksport bijiran menerusi perjanjian PBB yang dibuat dengan bantuan Turki. – Gambar AFP, 7 Ogos, 2022.

KETIBAAN kapal pertama penghantar bijiran Ukraine sejak pencerobohan Rusia tidak akan tiba di bandar pelabuhan Tripoli di Lubnan hari ini mengikut jadual, kata Kedutaan Ukraine di Beirut.

“Ketibaan esok kapal Razoni ditangguh,” kata kedutaan kepada AFP dalam satu mesej ringkas semalam.

Perkembangan terkini majlis meraikan ketibaan kapal “akan dihantar nanti sebaik sahaja kami menerima maklumat tentang hari dan masa tepat ketibaan kapal,” tambahnya.

Ditanya sebab kelewatan itu, jurucakap kedutaan berkata: “Saya tidak ada maklumat lain pada masa sekarang.”

Pegawai berkata kapal itu juga mungkin tidak berlabuh di pelabuhan di Lubnan jika pemilik kapal berjaya menjual bekalan di tempat lain.

“Kapal itu hanya akan pergi ke Lubnan jika peniaga membeli kargo itu,” katanya kepada AFP.

Razoni yang didaftarkan di Sierra Leone berlayar dari pelabuhan Odessa, Ukraine pada Isnin lepas membawa 26,000 tan jagung dan berhenti di Turki keesokan harinya.

Ia dibenarkan melepasi laluan Selat Bosphorus oleh pasukan dianggotai pemeriksa Rusia dan Ukraine pada Rabu dan jurucakap Kedutaan Ukraine sebelum ini berkata ia akan berlabuh di Tripoli pada jam 10 pagi, Ahad.

Ia adalah penghantaran pertama berjaya dilakukan menerusi perjanjian dibuat PBB dengan bantuan Turki bulan lepas, bertujuan mengurangkan kesan krisis makanan dunia.

Lubnan yang kini bergelut dengan salah satu krisis kewangan terburuk dunia sedang berdepan masalah kekurangan roti.

Kyiv berkata tiga lagi kapal membawa bijiran dijangka berlayar dari Ukraine pada Jumaat menuju ke Turki untuk pasaran Ireland dan Britain. 13 lagi kapal sedang menunggu kebenaran berlayar. – AFP, 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen