Bekas bomba sukarela didakwa cetus kebakaran hutan ditahan 


Perancis berdepan peningkatan suhu dan beberapa siri kebakaran hutan yang dahsyat sejak beberap aminggu lalu.– Gambar EPA, 7 Ogos, 2022.

PIHAK berkuasa Perancis menahan seorang bekas anggota bomba sukarela yang disyaki mencetuskan dua kebakaran hutan di selatan negara itu awal minggu ini, kata seorang pendakwa raya Sabtu.

Lelaki berusia 33 tahun itu mengaku memulakan kebakaran yang memusnahkan 500 meter persegi (5,000 kaki persegi) kawasan hutan di wilayah Herault pada petang Selasa, kata pendakwa raya Beziers, Raphael Balland.

Dia juga dituduh memulakan satu lagi kebakaran sebelum itu, tetapi telah menafikan sebarang tanggungjawab, mendakwa dirinya mabuk.

Lelaki berkenaan yang pernah menjadi sukarelawan bomba di bahagian lain di Perancis, direman pada Khamis dan boleh berdepan hukuman penjara 10 tahun apabila dia dibicarakan bulan depan, kata pendakwa raya.

Dia adalah anggota bomba kedua yang didakwa atas tuduhan mencetuskan kebakaran di wilayah Herault.

Akhir bulan lalu, pihak berkuasa Perancis menahan seorang pegawai perhutanan berusia 30-an, yang tugasnya termasuk mencegah kebakaran, selepas mengaku memulakan kebakaran pada tiga kejadian berasingan. Dia berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda 150,000 euro ($153,000).

Sejak beberapa minggu lalu, Perancis berdepan peningkatan suhu dan beberapa siri kebakaran hutan yang dahsyat. – AFP, 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen