Polis Brazil tahan 5 lelaki berhubung kes bunuh Amazon 


Dom Phillips dan Bruno Pereira ditembak mati pada 5 Jun di pinggir Lembah Javari, kawasan hutan terpencil yang luas di sempadan Brazil dengan Peru dan Colombia.– Gambar EPA, 7 Ogos, 2022.

POLIS di Brazil berkata mereka menahan lima suspek baharu pada Sabtu berhubung pembunuhan seorang wartawan Britain dan pakar pribumi Brazil di Amazon.

Setakat ini kesemua sembilan orang yang ditahan setakat ini dituduh terlibat dalam kumpulan penangkapan ikan haram.

Polis persekutuan berkata siasatan berterusan kes pembunuhan Dom Phillips dan Bruno Pereira pada Jun telah menemui petunjuk kukuh bahawa salah seorang daripada empat suspek yang telah ditahan, seorang pengedar dadah yang didakwa dikenali sebagai “Colombia,” adalah “pemimpin dan penyokong kewangan kumpulan penjenayah bersenjata yang ditugaskan untuk menangkap ikan secara haram di wilayah Lembah Javari.”

Phillips, 57, dan Pereira, 41, ditembak mati pada 5 Jun di pinggir Lembah Javari, kawasan hutan terpencil yang luas di sempadan Brazil dengan Peru dan Colombia yang menyaksikan lonjakan penangkapan ikan haram, pembalakan, perlombongan dan penyeludupan dadah.

Pereira telah berusaha untuk menghentikan penangkapan ikan secara haram di kawasan rizab asli Lembah Javari, wilayah yang lebih besar daripada Austria.

Phillips yang seorang wartawan bebas untuk The Guardian, The New York Times dan akhbar terkemuka lain, sedang mengembara bersamanya untuk menyelidik buku yang ditulisnya bertajuk “Cara Menyelamatkan Amazon.”

Pemimpin asli yang bekerja dengan Pereira menuduh “Colombia” mengarahkan dia dibunuh sebagai balasan kerana telah menganjurkan rondaan Orang Asli yang menumpaskan kegiatan penangkapan ikan secara haram.

Polis berkata, suspek pengedar dadah—yang nama sebenarnya mereka berikan sebagai Ruben Dario da Silva Villar, warga Colombia—mengetuai kumpulan “bertanggungjawab menjual sejumlah besar ikan untuk dieksport ke negara jiran.”

Lima tahanan baharu itu termasuk tiga saudara lelaki pertama yang ditahan dalam kes itu, nelayan tempatan Amarildo “Pelado” Costa de Oliveira. Kelima-lima mereka disyaki membantunya menyembunyikan mayat di dalam semak, kata polis.

Seorang ditangkap di sebuah pesta di bandar Atalaia do Norte. Yang lain ditahan dalam komuniti nelayan kecil berhampiran. – AFP, 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen