ANWAR Ibrahim menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan “siasatan penuh dan telus” terhadap kontroversi perolehan tender kapal tempur pesisir (LCS) bernilai berbilion ringgit, dengan berkata negara tidak mampu “mengulangi penyelewengan kewangan secara berterusan”.
Presiden PKR yang juga ketua pembangkang itu berkata, SPRM mesti memberi jaminan siasatan secara khusus akan diadakan.
“Ya, mereka akan kata ia berterusan tetapi ia sudah wujud sejak 10 hingga 15 tahun lalu,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Kuching selepas mengumumkan pelantikan ketua PKR Sarawak.
Beliau berkata, apa yang dimaksudkannya dengan “penyiasatan penuh” bukan sahaja menyiasat CEO dan pegawai dalam (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) - syarikat yang diberi kontrak langsung untuk membina enam LCS kepada tentera laut.
Beliau berkata, semua menteri, pegawai kanan kerajaan dan “malah perdana menteri berkenaan jika beliau terbabit” perlu disiasat.
Najib Razak adalah perdana menteri ketika kerajaan meluluskan perolehan tender itu.
“SPRM mesti bertindak dan mesti memberi jaminan akan ada siasatan penuh.”
Anwar juga membidas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein atas komen yang dibuatnya semalam apabila beliau, sebagai membalas kenyataan yang dibuat Anwar sebelum ini, berkata projek LCS tidak boleh dihentikan dan perlu diteruskan.
Anwar menuduh Hishammuddin “jelas menghina” kerana tidak membaca dan tidak mengulas apa yang diperkatakan.
“(Beliau) cuba memanipulasi untuk mempertahankan kerajaan (Barisan Nasional ketika itu).
“Saya kata projek yang sedang berjalan tidak boleh ditamatkan tetapi anda mesti memantaunya dengan rapi.”
Anwar berkata, fasa terakhir projek itu, yang menelan belanja lebih RM500 juta mesti dihentikan.
RM500 juta yang diselamatkan itu, jelasnya perlu diserahkan semula kepada veteran perkhidmatan, pesara dan fakir miskin.
“Negara tidak mampu mengulangi kegagalan ini secara berterusan,” katanya.
Anwar berkata, Hishammuddin harus menjawab dengan betul semua kenyataan yang dibuatnya mengenai mengapa tiada tender dipanggil untuk perolehan tender, mengapa tiada pemantauan dan mengapa ketirisan dan rasuah teruk dan semua banyak soalan yang tidak terjawab.
“Saya cabar beliau dan SPRM (untuk jawapan).
“Hishammuddin tidak patut mencipta naratifnya sendiri dan menolak kritikan kami bulat-bulat.” – 6 Ogos, 2022.
Komen