Muda raih pandangan rakyat untuk rangka manifesto


Mohd Farhan Darwis

Berhasrat untuk jumpa seramai mungkin rakyat dari pelbagai lapisan dan golongan, ketua penerangan Muda berkata segala pandangan rakyat akan dikumpul menjadi dokumen digelar Kertas Hitam Muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2022.

MUDA sedang mendapatkan pandangan rakyat Malaysia melalui program Malaysia Maju untuk merangka manifestonya, kata ketua penerangan parti Luqman Long.

Luqman memberitahu The Malaysian Insight, ia bagi membentuk dokumen Kertas Hitam Muda untuk dijadikan tawaran mereka kepada pengundi dan menjadi panduan gerakan parti itu.

“Kita nak jumpa seramai mungkin rakyat Malaysia, di kampung, bandar, flat, perhentian bas, semua… kalau boleh dari Kedah, Perlis, Johor, Sabah, dan Sarawak.

“Kita nak tanya mereka apa yang mereka mahu untuk Malaysia yang maju. Kita nak guna modul Kertas Hitam Muda untuk buat manifesto sebagai antara identiti dan pegangan Muda.

Beliau menjangka dokumen itu antara lain akan meliputi sektor ekonomi, pendidikan, pertanian, mahasiswa, industri kecil dan sederhana.

Peguam muda berusia 27 tahun itu berkata, program Malaysia Maju yang akan berakhir di hujung September itu akan digerakkan dengan dialog, forum, serta pertemuan di lapangan oleh ahli Muda.

“Dalam masa 60 hari kita gerakkan 80,000 ahli Muda seluruh negara untuk buat program, forum, dialog, turun padang, pergi ke pasar tani, jumpa orang ramai.

“Selain itu turut diadakan sesi perjumpaan atas talian, kita minta orang tulis apa mereka mahu untuk Malaysia maju, banyak program kita buat dan akan buat lebih banyak program lagi,” kata Luqman.

Beliau turut mengharapkan dokumen itu turut akan digunakan kerajaan dalam merangka strategi menjadikan keadaan lebih baik untuk rakyat negara ini.

“Ya betul, Kertas Hitam Muda akan jadi panduan (merangka manifesto) tetapi bukan sahaja untuk Muda tetapi kita akan gesa kerajaan rujuk kertas hitam ini untuk jadikan Malaysia negara maju.

“Kerajaan (perlu) tengok ini yang rakyat nak, rakyat mahu, dan fokus kerisauan rakyat dan kita nak pihak terlibat, ambil, rujuk, dan laksanakan apa yang terkandung dalam kertas hitam Muda ini.”

Program itu juga akan berlangsung secara atas talian dan rakyat boleh berkongsi pandangan berkenaan tuntutan dan harapan mereka di laman web www.malaysiamaju.com.

Mendepani PRU15, Luqman berkata selain program tersebut, Muda juga akan menumpukan pada polisi dan dasar negara serta politik khidmat kepada rakyat.

“Pasukan dasar dan polisi Muda sedang kumpul suara rakyat dalam Malaysia Maju tapi fokus kita paling utama adalah ekonomi rakyat,” kata Luqman lagi.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada 29 Disember tahun lalu, Muda kini mempunyai lebih 80,000 ahli dan mensasarkan sekitar 150,000 hingga 180,000 penyertaan menjelang hujung tahun ini.

Parti itu diasaskan oleh ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas meninggalkan Bersatu susulan percaturan politik pada hujung Februari 2020.

Selain itu, parti juga ingin mengikis pendapat bahawa Muda parti politik yang hanya berorientasikan kawasan bandar.

“Bagi saya adalah fahaman yang salah dan tidak tepat kerana antara pimpinan dan ahli Muda yang aktif bergerak banyak di luar Lembah Klang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Malah katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan Muda juga memberikan tumpuan kepada kawasan luar bandar apabila meletakkan calon mereka di kawasan tersebut.

Dalam PRN Johor Muda bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Setiausaha Agung Muda Amirah Aisyah Abdul Aziz menjadi satu-satunya calon parti itu yang menang iaitu di DUN Puteri Wangsa. – 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen