MUDA bersiap sedia sekiranya presiden parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didapati bersalah dalam perbicaraan kes rasuah, kata Ketua Penerangan Luqman Long.
Parti itu juga memberikan sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman dan tidak akan membuat sebarang spekulasi terhadap perbicaraan yang sedang dihadapi ahli Parlimen Muar itu, katanya.
“Kita tak nak jadi parti dipimpin mereka yang sudah didapati bersalah. Kita tak nak pemimpin yang sudah dijatuhkan hukuman bersalah.
“Tetapi selagi perbicaraan masih berlangsung kita serahkan kepada institusi kehakiman,” kata Luqman dalam wawancara bersama The Malaysian Insight di ibu negara baru-baru ini.
Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan kini berhadapan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM1 juta sayap pemuda Bersatu.
Bekas ketua Armada Bersatu itu kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Kita ada perancangan lain (jika Syed Saddiq bersalah), Muda tegas dalam mengenalpasti individu yang mempunyai niat yang jelas dan berintegriti untuk memimpin,” kata Luqman.
Malah, Syed Saddiq juga sangat telus dalam perjalanan perbicaraan di mahkamah dan sudah menerangkan kedudukannya kepada kepimpinan Muda, kata Luqman.
“Kes mahkamah itu tidak mengganggu. Bagi saya pejabat presiden bersikap sangat telus dalam perjalanan kes di mahkamah. Setiap kali ada perbicaraan kita akan diberitahu apa yang berlaku.
“Syed Saddiq sendiri dalam banyak mesyuarat sudah terangkan secara jelas kedudukannya dalam kes ini, bagaimana kes ini dianggap sebagai satu perbicaraan politik.
“Bagaimana kedudukan Syed Saddiq dalam isu ini tidak memberi masalah dan saya juga dimaklumkan pejabat presiden sangat yakin dengan integriti dan ketelusan institusi kehakiman dalam menjalankan tugas.”
Oleh yang demikian, peguam itu beranggapan kes tersebut tidak akan menganggu fokus Muda dalam usaha mereka untuk memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“Benda ini tidak menganggu perjalanan Muda dalam merangka strategi PRU15 sebab kita percaya kamu dianggap tidak bersalah sehingga kamu dibuktikan bersalah.
“Cuma kalau kita sampai ke tahap di mana presiden didapati bersalah kita akan ambil tindakan seterusnya.
“Sekarang kita fokus, perbicaraan berjalan kita tak akan buat spekulasi dan kita percaya institusi kehakiman akan buat keputusan yang betul, adil, untuk semua pihak,” kata Luqman.
Tumpuan utama Muda kini untuk memastikan parti yang ditubuhkan pada Disember itu menjadi pilihan alternatif kepada rakyat, katanya.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq dituduh bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada Bersatu Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.
Syed Saddiq juga didakwa menyalahgunakan dana berjumlah RM120,000 daripada akaun bank milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang berkenaan.
Beliau turut didakwa atas dua pertuduhan lain melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Beliau berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan sekiranya didapati bersalah bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, beliau berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dengan sebatan.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Syed Saddiq boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – 6 Ogos, 2022.
Komen