Pemilik Snickers minta maaf rujuk Taiwan sebagai negara


SYARIKAT gula-gula gergasi Amerika Syarikat (AS), Mars Wrigley menegaskan ia “menghormati kedaulatan negara China” dan memohon maaf selepas iklan untuk cokelat Snickers merujuk Taiwan sebagai sebuah negara, mencetuskan kemarahan China.

Tangkap layar iklan cokelat berkacang menampilkan kumpulan lelaki Korea Selatan BTS itu dengan pantas tular di media sosial di China, di mana sebarang cadangan yang pulau itu adalah sebuah negara merdeka adalah sangat tabu.

“Kami sedar dengan laporan aktiviti berkaitan Snickers di kawasan tertentu di Asia, mengambil serius perkara ini dan menyatakan permohonan maaf kami,” menurut kenyataan Mars Wrigley yang disiarkan pada Jumaat di halaman Snickers di Weibo.

Syarikat itu telah meminta pasukan tempatan Snickers menyemak dan menyesuaikan laman web rasmi dan akaun media sosialnya “untuk memastikan kandungan publisiti syarikat adalah tepat”, tambahnya.

“Mars Wrigley menghormati kedaulatan negara dan integriti wilayah China, dan menjalankan operasi perniagaan dengan mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan China,” kata kenyataan itu.

Beberapa jam selepas kenyataan pertama, Snickers China berkongsi satu lagi siaran Weibo, menambah “hanya terdapat satu China di dunia ini, dan Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah China”.

Minggu ini Beijing berang selepas Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi mengingkari amaran dan melawat Taiwan - yang didakwa China sebagai sebahagian daripada wilayahnya selain berikrar untuk mengambilnya, secara kekerasan jika perlu.

China berkata pada Jumaat ia menamatkan kerjasama dengan AS dalam isu-isu utama termasuk perubahan iklim, dan sejak kebelakangan ini telah mengepung Taiwan dengan beberapa siri latihan ketenteraan.

Mars Wrigley bukan firma antarabangsa pertama yang mengeluarkan permohonan maaf atas kebimbangan kehilangan akses kepada pasaran pengguna besar di China.

Pada 2019, jenama mewah Perancis Dior memohon maaf selepas menggunakan peta China dalam pembentangan yang tidak termasuk Taiwan.

Laman web rangkaian hotel Marriott di China telah ditutup oleh pihak berkuasa selama seminggu pada 2018 selepas soal selidik pelanggan menyenaraikan Taiwan, Tibet dan Hong Kong sebagai negara berasingan. – AFP, 6 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen