BERATUS ribu warga Bangladesh bertumpu di stesen minyak di seluruh negara selepas kerajaan menaikkan harga sebanyak 52%, kenaikan tertinggi dalam sejarah susulan perubahan harga minyak di pasaran antarabangsa.
Pencerobohan Russia ke atas Ukraine menyaksikan harga tenaga global melonjak, walaupun minyak jatuh kembali dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana kebimbangan inflasi.
Dhaka mengumumkan pada Jumaat harga petrol naik 51.7% dan diesel sebanyak 42.5% mulai tengah malam.
Penunggang motosikal berlumba-lumba ke stesen minyak di seluruh negara untuk cuba mengisi penuh tangki kenderaan mereka sebelum kenaikan harga berkuat kuasa. Beberapa stesen menghentikan jualan dan protes berlaku.
Penunjuk perasaan berkata, kenaikan itu akan menjejaskan berpuluh-puluh juta penduduk miskin di negara itu yang menggunakan diesel untuk menjana tenaga pengangkutan dan pam pengairan pertanian.
Di Sylhet, peruncit cuba mengenakan harga lebih tinggi sejurus selepas kenaikan itu diumumkan, kata pesuruhjaya polis Md Nisharul Arif.
“Orang ramai berkumpul dan membantah di hadapan semua stesen minyak di bandar Sylhet.”
Terdapat protes yang sama di bandar lain.
Menteri tenaga Nasru Hamid memberitahu pemberita keputusan itu didorong oleh pasaran global.
“Beberapa pelarasan perlu dibuat memandangkan situasi global. Jika keadaan kembali normal, harga bahan api akan disemak sewajarnya,” katanya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, bekalan elektrik terputus sehingga 13 jam sehari di negara itu. – AFP, 6 Ogos, 2022.
Komen