BERSATU mengesahkan parti itu membincangkan usul bagi Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan ke atas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada minggu lalu.
Namun mesyuarat tersebut tidak memutuskan sama ada PN akan menarik sokongan atau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin naib presiden Umno itu, kata seorang pemimpin Bersatu.
Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Naaman memberitahu The Malaysian Insight, mesyuarat tersebut hanya membincangkan kedua-dua senario.
“Ya, tiada keputusan atau ketetapan mesyuarat MPT untuk itu, hanya dibincang dan disentuh ketika diskusi saja apa kelebihan dan kekurangannya tapi bukan keputusan,” kata Faiz.
Beliau mengulas laporan media mendakwa PN dijangka akan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri berikutan perlanggaran beberapa terma dalam perjanjian persefahaman (MoU).
Ia merujuk MoU ketika mereka bersetuju untuk mengangkat ahli Parlimen Bera itu sebagai perdana menteri kesembilan, pada Ogos tahun lalu.
Faiz seterusnya menyifatkan laporan media mengenai rancangan menarik sokongan ke atas Ismail sebagai tidak tepat dan setakat khabar angin.
“Itu tidak tepat, MPT tidak buat keputusan begitu,” kata Faiz.
Laporan berkenaan mengaitkan isu tersebut dengan tindakan Ismail Sabri yang masih tidak melantik timbalan perdana menteri daripada Bersatu, seperti terkandung dalam MoU.
Ismail Sabri dijadualkan bertemu delegasi PN semalam bagi membincangkan isu yang berbangkit berkenaan perjanjian itu namun dibatalkan di saat-saat akhir.
Ia sepatutnya disertai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Ahli MPT Bersatu Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pembatalan pertemuan itu dikatakan menyebabkan PN hilang sabar terhadap Ismail Sabri, lapor akhbar tersebut.
Selain jawatan timbalan perdana menteri, laporan itu menyebut Ismail Sabri perlu mengadakan perbincangan bersama kepimpinan Bersatu sebelum menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15. – 6 Ogos, 2022.
Tiada keputusan tarik sokongan, kata pemimpin Bersatu
Komen