KUMPULAN pesara penjawat awam G25 hari ini menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) yang seorang pegawainya dimarahi dengan kata-kata kesat oleh seorang penjawat awam kanan.
Mereka berkata SPA mesti menubuhkan jawatankuasa siasatan mengikut Fasal (6) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan apa sebenarnya berlaku di lounge VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan sama ada ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersikap keterlaluan dan kasar dalam kelakuannya ketika menuduh pegawai Imigresen lalai ketika menjalankan tugas.
Mereka berkata jawatankuasa itu perlu mengambil tindakan tatatertib yang perlu sekiranya dakwaan itu terbukti benar.
“Siasatan harus terbuka kepada saksi dan pihak yang berkepentingan supaya ia telus bagi memastikan keadilan kepada kedua-dua pegawai.
“Siasatan ini harus dianggap sebagai satu perkara yang mempunyai kepentingan awam yang serius kerana ia melibatkan dakwaan sangat serius terhadap kelakuan dan integriti salah seorang penjawat awam tertinggi di negara ini.
“Oleh itu, laporan dan hasilnya harus diterbitkan untuk pengetahuan umum,” kata G25 dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan itu berkata orang ramai berhak mengetahui fakta sebenar mengenai dakwaan itu kerana ia melibatkan imej perkhidmatan awam khususnya Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), cawangan kanan perkhidmatan awam. – 5 Ogos, 2022.
Berita penuh di sini
Komen