Kaji selidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendedahkan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi 18 tahun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin bakal rendah sekali.
Profesor Madya Lee Kuok Tiung dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata urusan pendaftaran pemilih, pengundi muda yang baharu didaftarkan di kawasan pilihan raya mengikut alamat yang terdapat dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bukan berdasarkan tepat tinggal mereka sekarang.
“Dengan kata lain, kawasan pengundian mereka adalah berdasarkan alamat dalam MyKad sedangkan majoriti besar pengundi baharu ini berada di bandar dan kemungkinkan mereka tak akan balik ke kampung untuk mengundi.
“Sama ada mereka mengikut ibu bapa pindah ke bandar dalam mencari kerja atau mereka hijrah ke bandar itu sebab nak sambung belajar atau cari kerja.
“Untuk balik ke kampung seperti di Sabah dan Sarawak mungkin leceh susulan masalah pengangkutan. Dalam sesetengah kes, perjalanan balik ke kampung halaman mereka mungkin ambil masa berhari-hari,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Lee pengundi muda pernah mengatakan mereka lebih memilih tidak mengundi untuk pertama kali itu daripada perlu pulang ke kampung untuk membuang undi.
Katanya mereka boleh ke JPN untuk menukar alamat kemudian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menukar kawasan pengundian mereka.
“Mereka Cuma tak kisah. Mereka kata perkar itu masalah yang mereka tak perlukan pun,” katanya.
Kaji selidik UMS itu juga menyokong kajian serupa yang dibuat oleh pelbagai organisasi termasuk parti politik bahawa pengundi baharu ini naif, tidak matang dari segi poilitik dan mudah dipengaruhi rakan sebaya atau tokoh yang dihormati serta figura matang seperti guru mereka.
“Siapa mereka pilih akan dipengaruhi oleh rakan sebaya atau pendapat orang berpengaruh seperti orang dewasa yang mereka suka atau hormati.
“Mereka sepertinya tidak ambil inisiatif untuk mendalami pelbagai isu politik, apatah lagi memahaminya,” katanya.
Pindaan Perlembagaan yang menurunkan had umur mengundi itu menambah bilangan 5.8 juta pengundi baharu menjadikan jumlah keseluruhan pengundi pada pilihan raya akan datang mencecah 21.1 juta pemilih.
Daripada keseluruhan itu 1.2 juta adalah mereka yang berumur antara 18 hingga 20 tahun.
Pada Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan sokongan lebih dua pertiga.
Selain menurunkan had umur mengundi, pindaan juga melibatkan pendaftaran secara automatik. – 5 Ogos, 2022.
Komen