13 maut kebakaran di kelab malam Thailand


Thailand tidak mempunyai peraturan ketat bagi aspek kesihatan dan keselamatan terutama yang melibatkan bar dan kelab malam yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 13 maut dan 40 cedera dalam kebakaran melibatkan sebuah kelab malam di Thailand, awal pagi Jumaat, kata seorang anggota penyelamat.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 1 pagi (1800 GMT Khamis) di tempat hiburan Mountain B di daerah Sattahip wilayah Chonburi, kira-kira 150km selatan Bangkok, kata seorang pegawai dari Yayasan Penyelamat Sawang Rojanathammasathan kepada AFP yang enggan namanya disiarkan.

Rakaman video disiarkan oleh perkhidmatan penyelamat menunjukkan orang ramai yang terdesak melarikan diri dari kelab itu menjerit, pakaian mereka terbakar, ketika api besar marak kelihatan.

Perkhidmatan itu berkata kebakaran itu merebak pantas disebabkan buih akustik mudah terbakar di dinding kelab dan anggota bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk mengawalnya.

Mangsa yang maut—empat wanita dan sembilan lelaki—ditemui kebanyakannya bersesak di tepi pintu masuk dan di dalam bilik air, mayat mereka melecur teruk, kata anggota tersebut.

Kesemua mangsa dipercayai warga Thailand.

“Tiada kematian melibatkan warga asing,” kata leftenan kolonel polis Boonsong Yingyong dari balai polis Phlu Ta Luang, yang menyelia kawasan kebakaran berlaku, memberitahu AFP melalui telefon.

Sekian lama dibangkitkan mengenai pendekatan longgar Thailand terhadap peraturan kesihatan dan keselamatan, terutamanya di bar dan kelab malam begitu banyak di negara itu.

Tragedi besar berlaku pada pesta Malam Tahun Baru di kelab Santika di Bangkok pada 2009, membunuh 67 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain.

Pemilik Santika dipenjarakan selama tiga tahun berhubung kejadian kebakaran itu, yang bermula apabila bunga api dilepaskan ketika kumpulan rock bernama Burn membuat persembahan di atas pentas.

Baru-baru ini, empat orang maut dalam kebakaran disebabkan kerosakan elektrik di sebuah kelab di pulau percutian Phuket. – AFP, 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen