AS isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan awam


Sehingga kini sebanyak 600,000 vaksin telah diedarkan di AS untuk mencegah cacar monyet.– Gambar EPA, 5 Ogos, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) semalam isytihar wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam, bagi membolehkan pembiayaan dan alat tambahan dikeluarkan untuk memerangi penyakit itu.

Pengisytiharan dibuat ketika jumlah jangkitan mencecah lebih 6,000 kes di seluruh negara itu setakat semalam, dan kira-kira satu perempat daripadanya dikesan di New York. Pakar kesihatan tidak menolak jumlah sebenar kes mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

“Kami bersedia untuk mengambil tindakan ke peringkat seterusnya dalam usaha menangani wabak.

“Setiap penduduk di negara ini digesa supaya mengambil serius serta mengambil tanggungjawab untuk membantu kami mengekang virus ini,” kata Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Xavier Becerra dalam kenyataan.

Sehingga kini sebanyak 600,000 vaksin JYNNEOS yang asalnya dibangunkan khusus untuk mencegah cacar telah diedarkan di AS.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS minggu lalu berkata kira-kira 99% kes cacar monyet yang dikesan di AS setakat ini membabitkan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) cacar monyet juga tersebar melalui sentuhan kulit ke kulit serta sentuhan langsung dengan pakaian dan tempat tidur.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lepas mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, iaitu tahap amaran tertinggi bagi sesuatu penyakit. – AFP, 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen