Adakah Gerakan Tanah Air wajah masa depan Malaysia, soal Khaled Nordin


Ravin Palanisamy

Naib Presiden Umno Khaled Nordin mempersoalkan adakah Gerakan Tanah Air bawa wajah masa depan Malaysia, sedangkan gabungan itu terdiri daripada ahli politik yang sudah berusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2022.

NAIB Presiden Umno Khaled Nordin mempersoalkan adakah gabungan baharu Gerakan Tanah Air (GTA) ia membawa wajah masa depan Malaysia.

“Kalau kita lihat semua yang ada di situ, adakah ini wajah masa depan Malaysia?

“Kalau kita nak cakap pasal masa hadapan, mestilah ada juga yang muda dan sebagainya. Tetapi kalau tengok sana, semua ahli politik berusia,” kata Khaled kepada pemberita di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Awal hari ini, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA, yang mensasarkan kumpulan pengundi yang muak dengan politik kepartian Melayu.

Bekas perdana menteri berkata selain Pejuang, gabungan khusus untuk orang Melayu itu turut disertai Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Khaled berkata GTA yang diketuai Dr Mahathir hanyalah gimik politik yang digunakan untuk memperdaya orang Melayu semasa pilihan raya, justeru beliau menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh.

“Ini bukan perkara baru yg dibuat, lagi-lagi bila nak menjelang pilihan raya umum (PRU), maka akan adalah usaha dan pendekatan yang dibuat untuk mengambil hati dan mempengaruhi rakyat dan masyarakat.

“Jadi ini bukan satu perkara yang memeranjatkan. Takkanlah selama ini tak buat apa-apa perjuangan untuk orang Melayu.

“Tetapi bila dah sampai dekat (PRU) agaknya, maka tak ada cara lain, maka ini sahaja cara yang ada.

“Saya harap supaya masyarakat Melayu khususnya tidak terpengaruh dengan cara-cara yang sebegini,” kata bekas menteri besar Johor itu.

Khaled juga berkata mana-mana parti yang ingin bertanding dalam PRU perlu menawarkan diri untuk membangunkan negara dan bukannya menganiaya parti politik lain.

Ketika ditanya sama ada beliau melihat GTA sebagai ancaman kepada Umno, Khaled hanya berkata “semua orang boleh bertanding dalam pilihan raya”. – 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen