30% kedai gunting rambut India tutup kerana kurang pekerja


Elill Easwaran

Hampir 30% kedai gunting rambut India terpaksa gulung tikar sejak pandemik melanda, lebih-lebih lagi tahun ini kerana kekurangan tukang gunting.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2022.

KEDAI gunting rambut India sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat kekurangan pekerja walau sudah 10 bulan selepas mereka dibenarkan beroperasi semula.

Naib Bendahari Persatuan Pemilik Kedai Gunting India Malaysia Meenaq Kumar memberitahu The Malaysian Insight hampir 30% kedai gunting rambut India terpaksa gulung tikar sejak pandemik melanda, lebih-lebih lagi tahun ini kerana kekurangan tukang gunting.

“Tidak banyak beza berbanding tahun lepas.

“Tahun lepas perniagaan kami teruk akibat Covid-19 tetapi sekarang kami terkesan pula sebab kekurangan pekerja,” kata Meenaq.

Banyak gulung tikar tahun ini dengan anggaran 30 peratus daripada 870 ahli persatuan yang kebanyakannya terletak di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata ahli mereka menguruskan kira-kira 3,000 kedai dan mereka memerlukan lebih kurang 2,500 pekerja asing dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak kedai ditutup.

“Kami sudah berdepan masalah kekurangan pekerja ini sejak lebih 10 tahun tetapi sekarang paling teruk.

“Sebelum Covid-19 kami ada kira-kira dua hingga tiga pekerja di sebuah kedai tetapi kini kebanyakan kedai beroperasi dengan hanya seorang pekerja.

“Dengan seorang pekerja kami tidak mampu sebab akan kurangkan pelanggan, selain inflasi, sewa yang perlu dibayar, kami tidak dapat uruskan perniagaan,” katanya.

Naib Bendahari Persatuan Pemilik Kedai Gunting India Malaysia Meenaq Kumar. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2022.

Meenaq yang juga penyelaras persatuan pemilik gunting rambut India di Negeri Sembilan berkata, tukang gunting rambut tempatan lazimnya tidak bekerja di kedai gunting rambut India kerana mereka ada perniagaan sendiri.

Kedai gunting rambut India terkenal kerana kemahiran menggunting yang sangat baik pada harga yang lebih rendah berbanding salun lain, malah ia digemari oleh sesetengah orang kerana ada urutan kepala selepas potong rambut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemerkasaan Penggaya Rambut India Malaysia (MIHASS) Mohammad Jaffar berkata perniagaan kini jauh lebih stabil.

“Ini terutamanya kerana tiada sekatan pada had pelanggan dan juga perkhidmatan.”

Namun, katanya keadaan pekerja kurang lebih parah ketika ini.

“Kami sudah beberapa kali minta kerajaan untuk ambil pekerja asing tetapi tidak berjaya.

“Kebanyakan pemilik kedai gunting rambut India sedang menunggu berita baik daripada kerajaan. Kami harap akan muncul tidak lama lagi,” kata Mohammad.

Mohammad juga berkata kira-kira 30 peratus ahlinya yang terdiri daripada 200 tukang gunting rambut terpaksa gulung tikar kerana kekurangan pekerja.

Ketika ditanya mengenai pengambilan tukang gunting tempatan, beliau berkata banyak kedai telah mula memberi kursus gunting rambut percuma untuk menarik penduduk tempatan.

“Kami masih dalam peringkat permulaan jadi ia akan mengambil sedikit masa sebelum kami boleh dapatkan rakyat tempatan bekerja di kedai gunting rambut India.”

Presiden Persatuan Pemerkasaan Penggaya Rambut India Malaysia (MIHASS) Mohammad Jaffar.– Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2022.

Seorang pemilik kedai gunting rambut yang hanya mahu dikenali sebagai Ram berkata dengan seorang pekerjanya, beliau hampir tidak dapat jana pendapatan.

“Malah seorang pekerja yang saya ada adalah dari industri makanan, jadi saya terpaksa luang sedikit masa untuk mengajarnya.

“Saya sangat berharap kerajaan akan benarkan kemasukan pekerja asing tidak lama lagi. Jika tidak, saya terpaksa tutup kedai.

“Kedai gunting rambut India hampir mustahil untuk beroperasi tanpa pekerja asing,” kata Ram yang kedainya terletak di Petaling Jaya.

“Perkhidmatan kami sangat murah jadi kami tidak mampu untuk bayar gaji tinggi seperti yang dijangkakan oleh penduduk tempatan justeru kami cari pekerja asing.”

Pada 21 Julai, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata Malaysia telah bersetuju untuk membuka lebih banyak sektor untuk pekerja asing dari India.

“Baru-baru ini, jawatankuasa bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan sektor lain,” katanya ringkas di Parlimen.

Awal minggu itu Saravanan dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata industri pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan akan dibenarkan mengambil pekerja asing dari semua 15 negara sumber.

Laman web Kementerian Dalam Negeri menyenaraikan 15 negara seperti India, Thailand, Kemboja, Nepal, Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, Turkmenistan, Uzbekistan, Indonesia dan Kazakhstan. – 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen