KPDNHEP Pulau Pinang rampas 2,000 liter diesel


KPDNHEP Pulau Pinang berkata suspek mengaku beli diesel di beberapa stesen minyak untuk dijual dengan harga tinggi kepada pihak industri. – Gambar EPA, 4 Ogos, 2022.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 2,000 liter minyak diesel bersubsidi dan sebuah lori bernilai RM17,000 dalam serbuan di stesen minyak di Jalan Baru, di Bukit Mertajam semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya A.Mogan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya berjaya menjejak sebuah lori muatan dua tan yang mencurigakan sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut kira-kira 6 petang semalam.

Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan menemukan satu tangki berkapasiti 2,500 liter yang telah diubah suai pada bahagian belakang lori tersebut dan terdapat 2,000 liter minyak diesel bersubsidi di dalam tangki itu.

“Kami turut menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an yang merupakan pemandu lori serta pembantunya, dan siasatan awal mendapati mereka bergerak sendiri dalam kegiatan menyeleweng minyak diesel bersubsidi tersebut.

“Mereka mengaku membeli diesel bersubsidi tersebut di beberapa stesen minyak sebelum menjual semula kepada pihak industri dengan harga lebih tinggi bagi mengaut keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya turut dirampas tangki simpanan, pam elektrik dan paip.

Sementara itu, Mogan berkata KPDNHEP Pulau Pinang telah membuat dua serbuan melibatkan premis menjual pakaian serta sebuah kediaman di Gelugor dan Jelutong, seterusnya merampas pelbagai barangan tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM14,506.

Katanya serbuan pada 2 petang semalam itu, dijalankan selepas menerima aduan daripada wakil cap dagang berhubung penjualan barangan tiruan menggunakan jenama mereka.

“Serbuan pertama adalah di Kampung Kastam di Gelugor iaitu sebuah premis menjual pakaian dan kami menahan empat lelaki berusia 20 hingga 30-an serta merampas 44 beg, 37 helai kemeja-T, 78 pasang selipar, 16 unit tali pinggang, 15 unit topi jenama terkenal disyaki tiruan yang kesemuanya bernilai RM9,130.

“Manakala dalam serbuan kedua, kami merampas 336 unit minyak wangi jenama antarabangsa yang disyaki menggunakan cap dagangan palsu bernilai RM5,376 dan turut ditahan seorang lelaki yang merupakan pemilik rumah tersebut,” katanya.

Menurutnya kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019. – Bernama, 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen