Dr Mahathir tubuh Gerakan Tanah Air untuk lawan Umno


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad pada sidang media mengumumkan penubuhan GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Ogos, 2022.

PENGERUSI Pejuang Dr Mahathir Mohamad hari ini menubuhkan gabungan politik baharu dikenali sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), yang mensasarkan kumpulan pengundi yang muak dengan politik kepartian Melayu.

Bekas perdana menteri berkata selain Pejuang, gabungan khusus untuk orang Melayu itu turut disertai Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Gerakan berkenaan juga akan disertai ratusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, ahli akademik Melayu, katanya.

“Jadi itulah gerakan kita, kita menjemput orang Melayu sahaja bukan kerana perkauman, tidak… tetapi usaha kita tertumpu melawan sebuah parti Melayu yang menyeleweng, iaitu Umno.

“Untuk lawan Umno kalau bukan parti Melayu orang takkan sokong. Kita parti Melayu (yang ditubuhkan) untuk lawan Umno yang menyeleweng,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan penubuhan GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, petang tadi.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, GTA akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang di semua 120 kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Mereka juga mensasarkan kumpulan pengundi atas pagar yang enggan mengundi sebelum ini disebabkan kelesuan politik.

“Setakat kita tahu Umno menjadi kerajaan dengan sokongan 35% pengundi dan ada lagi baki 65% lagi yang tak sokong kerajaan, ada antara itu ada orang tak mengundi sama sekali kerana anggap politik membosankan dan (merasakan) politik tidak mendatangkan faedah.

“Tapi kita yakin dengan penerangan apa akan dilakukan kita yakin ramai akan beri sokongan bersama dengan empat buah parti dan banyak beratus NGO yang menyatakan sokongan kepada kita serta orang ramai yang prihatin yang tidak senang amalan rasuah diamalkan kerajaan sekarang kita yakin dapat kemenangan,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga menjemput orang Melayu “yang curiga masa depan mereka” supaya menyertai dan menyokong GTA pada PRU15 nanti, yang perlu diadakan dalam masa lebih kurang 12 bulan ini.

“Kita akan bertanding sebagai satu gerakan dan kita akan letak calon yang terdiri daripada parti politik, NGO, individu tertentu atau siapa sahaja yang menyokong gerakan kita,” tambahnya.

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad berkata, GTA akan bertanding pada PRU15 di semua 120 kawasan Parlimen majoriti Melayu.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Ogos, 2022.

Dr Mahathir mempengerusikan gabungan itu manakala empat pemimpin parti gabungan dilantik sebagai timbalan pengerusi iaitu Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, Presiden Putra Ibrahim Ali, Presiden Berjasa Zamani Ibrahim, dan Presiden Iman Mohamad Mohsin Abdul Razak.

Barisan pimpinan lain terdiri daripada pemimpin pertubuhan masyarakat dan golongan profesional akan diumumkan kelak.

Penubuhan GTA adalah rentetan penganjuran sesi meja bulat oleh cerdik pandai Melayu bertajuk penjenamaan semula naratif politik Melayu di Seri Kembangan, pada 29 Julai lalu.

Dr Mahathir berkata, tumpuan utama GTA untuk memulihkan masalah orang Melayu, khususnya melibatkan kemiskinan.

“Gerakan kita tertumpu kepada masalah orang Melayu, banyak masalah, kemiskinan paling utama, mereka terpisah dengan harta benda dan menjadi orang yang lemah.

“Dalam pilihan raya kita sebagai gerakan akan menentang Umno dan harap dapat sokongan rakyat bukan kerana mereka ahli parti sebaliknya mereka adalah orang Melayu yang curiga berkenaan masa depan mereka kerana rata-rata kebanyakan orang miskin adalah orang Melayu.

“Sebab itu kita tubuh gerakan Melayu untuk selesaikan masalah mereka dan berusaha supaya mereka dapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum,” katanya.

Tambahnya, penubuhan GTA juga tidak bermaksud merampas hak kaum lain sebaliknya berperanan membetulkan kembali kedudukan orang Melayu agar mampu memperolehi hak mereka.

“Bukan untuk merampas harta bukan Melayu dan bukan sekat orang Melayu berusaha mendapat kekayaaan, tidak.

“Sebaliknya cuma berusaha betulkan kedudukan Melayu supaya mereka dapat bahagian mereka dalam negara,” kata Dr Mahathir.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bersama sebahagian daripada pemimpin parti dalam gabungan GTA yang diumumkan pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Ogos, 2022.

Namun GTA katanya enggan menjadi sebuah entiti politik kerana banyak perpecahan orang Melayu berpunca daripada politik.

“Kita tak nak menjadi satu parti lagi. Parti di Malaysia hanya hasilkan perpecahan di kalangan rakyat, semua parti ditubuh jadi lemah dan bilangan pengikut tak ramai.

“Gerakan kami tak terhad kepada parti tapi terbuka kepada semua Melayu yang tak terlibat jenayah. Saya yakin bilangan mereka lebih besar daripada penyangak, penyamun dengan itu kita harap kita dapat sokongan daripada mereka.

Dalam sidang medianya, Dr Mahathir juga berkata, menjelang PRU15, GTA setakat ini hanya akan memberikan tumpuan kepada semenanjung Malaysia.

Pada 2016, Dr Mahathir mengasaskan Bersatu yang turut menerima keahlian hanya daripada komuniti Melayu untuk menandingi Umno dan kemudiannya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Gabungan itu berkata membentuk kerajaan dan menewaskan Barisan Nasional (BN) dengan Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri sekali lagi.

Kerajaan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan 22 bulan selepas sebilangan ahli Parlimen mereka bertindak menarik sokongan sekaligus menyaksikan Bersatu berpecah, dengan satu kumpulan yang bersama Presiden Muhyiddin Yassin menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Satu kumpulan lagi bekas ahli Bersatu yang bersama Dr Mahathir kemudian menubuhkan Pejuang.

Pejuang menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara solo namun tewas di semua 20 kerusi ditandinginya. – 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen