Taiwan dakwa China tembak peluru berpandu balistik semasa latihan


Taipei kutuk tindakan Beijing melepaskan beberapa peluru berpandu balistik semasa latihan ketenteraan China sebagai tidak rasional, menjejaskan keamanan serantau. – Gambar AFP, 4 Ogos, 2022.

TENTERA China telah melepaskan “beberapa” peluru berpandu balistik ke perairan sekitar Taiwan semasa latihan ketenteraan pada Khamis, kata Kementerian Pertahanan Taipei, mengutuk apa yang disifatkannya sebagai “tindakan tidak rasional yang menjejaskan keamanan serantau”.

“Kementerian Pertahanan Negara menyatakan Parti Komunis China melepaskan beberapa peluru berpandu balistik siri Dongfeng ke perairan sekitar timur laut dan barat daya Taiwan dari kira-kira pukul 13.56 tengah hari ini,” kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan ringkas.

Tentera Taiwan bagaimanapun tidak mengesahkan lokasi tepat di mana peluru berpandu itu mendarat atau sama ada ia terbang di atas pulau itu.

Tentera Pembebasan Rakyat China juga mengesahkan peluru berpandu telah ditembakkan.

Kolonel Kanan Shi Yi, jurucakap Komando Timur, berkata tentera China telah melancarkan “serangan peluru berpandu konvensional berbilang wilayah dan pelbagai model ke atas perairan yang telah ditetapkan di luar bahagian timur Pulau Taiwan”.

“Semua peluru berpandu mengenai sasaran dengan tepat, menguji ketepatan serangan dan keupayaan penafian kawasan,” tambah Kolonel Shi. – AFP, 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen