Pendidikan universiti percuma untuk pelajar Sarawak jadi objektif dana berdaulat


Desmond Davidson

Primier Sarawak Abang Johari Openg berharap ia boleh mencontohi beberapa negara yang berjaya mengurus dana mereka dengan jayanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2022.

PADA hari lahirnya yang ke-72 hari ini, Primier Sarawak Abang Johari Openg berkata satu daripada hajat sempena hari lahirnya adalah untuk melihat semua pelajar Sarawak mendapat pendidikan universiti percuma, yang dibiayai oleh dana kekayaan berdaulat yang bakal ditubuhkannya tidak lama lagi.

“Ini niat saya. Sama ada saya mampu atau tidak, saya serahkan kepada Allah.

“Tetapi itu (niat) saya. Jika negara seperti Jerman dan Norway boleh melakukannya, tidak ada sebab kita tidak boleh melakukannya,” katanya ketika merasmikan muzium baharu di Limbang hari ini, bandar tempat kelahirannya.

Semalam, Abang Johari berkata rang undang-undang untuk menyediakan rangka kerja perundangan bagi pembentukan dana berdaulat itu akan dibentang pada sidang belanjawan Dewan Undangan Negeri pada November.

“Kita kini mempunyai idea tentang bagaimana dana berdaulat sepatutnya,” katanya, menyentuh lawatan ke Norway, Singapura dan United Kingdom mengenai cara negara itu menubuhkan dan mengurus dana mereka.

Beliau ke Norway kerana negara itu mempunyai ekonomi berasaskan sumber yang sama seperti Sarawak, ke Singapura untuk mengkaji bagaimana negara tanpa sumber masih boleh mempunyai dana sedemikian dan UK dengan “pengurusan global” dananya.

Abang Johari ke Norway pada akhir Mei untuk lawatan dua hari ke atas Dana Pencen Kerajaan negara Global yang berkembang daripada pusingan pertama suntikan wang minyak bernilai 2 bilion Kroner (RM6.44 bilion) 25 tahun lalu kepada AS$1.34 trilion (RM5.97 trilion) pada 2021.

Beliauke Singapura pada minggu pertama bulan lalu dan baru pulang dari lawatan UK pada Selasa.

Muzium yang dibuka Abang Johari merupakan replika kuarters pegawai daerah pada tahun 50-an dan dibina semula di tapak kuarters tempat beliau dilahirkan.

Ayahnya pernah menjadi pegawai daerah di sana. – 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen