HARGA rumah kos rendah dan mampu milik boleh dikurangkan sekiranya kerajaan Persekutuan membatalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas kos bangunan, termasuk kos bahan binaan dan buruh, kata exco perumahan Pulau Pinang.
Jagdeep Singh Deo berkata pengecualian ke atas rumah kos rendah dan mampu milik itu perlu, dan ini termasuk rumah berharga di bawah RM300,000 seunit.
“Harga jualan bagi unit-unit tersebut boleh dikurangkan lagi kalau tiada GST. Ia akan kurangkan beban rakyat,” katanya hari ini.
Jagdeep berkata demikian ketika berucap di majlis tandatangan perjanjian jualan dan pembelian antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan pembeli-pembeli projek perumahan mampu milik Jiran Residensi di Kampung Jawa, Butterworth.
Skim baharu itu menawarkan 707 unit kos sederhana pada harga RM72,500 seunit, 150 unit mampu milik pada harga RM200,000 seunit dan 204 unit lagi pada harga RM250,000.
Projek bangunan tinggi itu merupakan salah satu daripada 18 projek perumahan mampu milik yang sedang dibina kerajaan Pulau Pinang. Keseluruhannya, kerajaan negeri sedang membina 27,306 unit di seluruh Pulau Pinang.
Bagi 11 projek itu, Jagdeep berkata kerajaan negeri perlu membayar kira-kira RM162 juta hanya untuk GST.
Beliau berkata, lebih 120 sektor akan terlibat dalam mana-mana projek perumahan - dari bahan binaan hinggalah ke buruh - semuanya perlu membayar GST, termasuk projek perumahan kos rendah dan sederhana dan unit di bawah RM300,000.
“Untuk kepentingan mereka yang belum mempunyai rumah pertama, saya seru kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan untuk mengecualikan unit-unit dari GST supaya kos tambahan tidak dipindahkan kepada pemilik rumah pertama,” katanya. – 23 Februari, 2018.
Komen