PUTRAJAYA berharap dapat membentangkan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) pada sidang Parlimen akan datang yang dijadualkan bermula pada Oktober, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa hari ini.
Annuar (Ketereh-BN) berkata, kementerian sedang menunggu draf akhir pindaan yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Jun lalu.
“Sebaik sahaja kami menerima maklum balas atau draf akhir daripada AGC, satu memorandum akan segera disediakan kepada Kabinet. Kementerian Komunikasi dan Multimedia komited untuk membentangkan cadangan pindaan Akta 709 pada sidang Parlimen akan datang, yang dijadualkan Oktober ini,” kata Annuar dalam jawapan Parlimen hari ini semasa sesi soal jawab menteri.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, yang bertanya mengenai rancangan kementerian untuk meminda beberapa klausa dalam Akta 709 dalam memerangi jenayah siber yang menyebabkan hampir 100 juta kes kebocoran data.
Annuar hari ini mengesahkan terdapat lebih 120 juta kes melibatkan kebocoran data peribadi.
Antara lain, Annuar berkata cadangan pindaan itu termasuk kewajipan kepada semua pengguna data melantik pegawai perlindungan data dan pengenalan pemberitahuan pelanggaran data yang mewajibkan semua pengguna data melaporkan kebocoran data kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dalam tempoh 72 jam.
Menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-PH), yang bertanyakan langkah diambil kerajaan untuk memastikan data dilindungi dengan baik dan cara mengelak orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan, ahli Parlimen Ketereh itu berkata kementerian sedang berusaha membina platform yang membolehkan orang ramai menyemak butiran nombor.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi berkenaan.
“Selain advokasi iaitu memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terjebak dengan panggilan tidak menentu dan sebagainya, kita merancang untuk mengadakan satu platform di mana orang ramai apabila menerima panggilan yang meragukan boleh terus merujuk dan semak kesahihan nombor, sama ada dari pemegang talian yang sah atau tidak.
“Ini memerlukan kami bekerjasama dengan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan kami mempunyai satu depositori, di mana terdapat butiran semua pemegang akaun yang sah.
“Ia sedang disusuli oleh kementerian, khususnya SKMM,” katanya.
Annuar memberi jaminan kementerian mengambil lebih banyak langkah keselamatan untuk melindungi data peribadi selain hanya meminda Akta 709. – 4 Ogos, 2022.
Komen