Sabah sedia bekerjasama dengan Batik Air buka laluan ke Indonesia


Sabah ingin memanfaatkan sepenuhnya trend semasa pelancongan kesihatan memandangkan setiap pelancong perubatan berpotensi berbelanja lebih tinggi berbanding pelancong biasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2022.

KERAJAAN Sabah bersedia bekerjasama dengan syarikat penerbangan Batik Air untuk membuka laluan penerbangan ke Indonesia dalam usaha membangunkan negeri itu sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Jafry Ariffin berkata antara laluan penerbangan itu adalah Pontianak dan Balikpapan di Kalimantan.

Beliau berharap laluan penerbangan itu akan dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat kerana laluan penerbangan juga merupakan antara faktor penting untuk menarik pengunjung dari negara jiran datang ke Sabah.

“Ini masa yang tepat untuk Sabah menyasarkan destinasi pelancongan kesihatan dengan mempromosikan kemudahan terkini yang ditawarkan hospital khususnya kepada pasaran Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, Jafry mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, Pengurus Besar Muhammad Ariff Abdul Aziz serta beberapa kakitangan syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata menerusi rantaian nilai dan industri pelancongan kesihatan pastinya akan membuka peluang kepada pelancong untuk menerokai lokasi pelancongan berkonsepkan “nature healing” yang ada di Sabah.

Menurutnya Sabah harus memanfaatkan sepenuhnya trend semasa pelancongan kesihatan memandangkan setiap pelancong perubatan berpotensi berbelanja lebih tinggi berbanding pelancong biasa. – Bernama, 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen