SENAT Amerika Syarikat (AS) semalam meratifikasi penyertaan Sweden dan Finland dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), sekali gus menzahirkan sokongan kuat kepada pengembangan pakatan rentas atlantik yang terdiri daripada 30 negara anggota itu.
Keputusan itu dicapai selepas 95 undi menyokong dan satu menentang penyertaan dua negara Nordik berkenaan, menjadikan AS negara ke-23 dalam Nato yang menyokong perkara itu secara rasmi setakat ini.
Terdahulu, Perancis turut meluluskan penyertaan terbabit pada Selasa lalu, disusuli Itali, semalam.
Satu-satunya undi menentang dalam Senat AS adalah daripada ahli Parti Republikan, Josh Hawley yang menegaskan Washington perlu menumpukan perhatian kepada usaha melindungi tanah air sendiri, selain memfokus cabaran daripada China berbanding Eropah.
Seorang lagi senator daripada Parti Republikan, Rand Paul pula mengundi “hadir” tanpa menyokong mahupun menentang usul berkenaan.
Pemimpin Senat Chuck Schumer menyifatkan keputusan itu memberi isyarat kesepakatan Barat selepas Russia melancarkan perang ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.
“Ini penting secara substantif dan menjadi isyarat kepada Russia mereka tidak boleh menakut-nakutkan AS atau Eropah.
“Putin (Presiden Russia, Vladimir Putin) cuba menggunakan peperangan di Ukraine untuk memecahbelahkan Barat. Bagaimanapun, pengundian hari ini menunjukkan pakatan kita lebih kuat berbanding sebelum ini,” kata Schumer.
Penyertaan Finland dan Sweden dalam Nato mesti dipersetujui semua 30 negara anggota.
Berdasarkan senarai Nato, negara anggota yang belum memberikan persetujuan secara formal terhadap perkara itu ialah Republik Czech, Greece, Hungary, Portugal, Slovakia, Sepanyol dan Turkiye.
Namun, hanya Turkiye menuntut konsesi daripada Finland dan Sweden, untuk negara itu menyokong keanggotaan mereka.
Ankara dilaporkan menuntut ekstradisi puluhan pembangkang kerajaan yang didakwa pengganas, daripada kedua-dua negara sebagai pertukaran untuk sokongannya.
Pada 21 Julai, Turkiye dilaporkan berkata sebuah jawatan khas akan mengadakan pertemuan dengan pegawai Sweden dan Finland bulan ini untuk mengakses sama ada kedua-dua negara berkenaan memenuhi syaratnya. – AFP, 4 Ogos, 2022.
Komen