Semakin ramai dapatkan bantuan kesihatan mental, kata pakar


Khoo Gek San

Semakin ramai mendapatkan bantuan kesihatan mental akibat tekanan dan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan kelaziman gaya hidup akibat pandemik. – Gambar AFP, 6 Ogos, 2022.

JUMLAH individu mendapatkan sokongan kesihatan mental pasca pandemik meningkat sebanyak 30%, kata pakar psikologi klinikal. 

Keadaan ini berikutan tekanan dan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan kelaziman gaya hidup akibat pandemik, tambah mereka.

Pakar psikologi klinikal Dr Rahmatullah Khan Abdul Wahab Khan memberitahu The Malaysian Insight, individu yang mendapatkan rawatan kesihatan mental antaranya disebabkan tekanan di tempat kerja; masalah hubungan antara suami, isteri dan anak-anak; serta mereka yang cenderung untuk membunuh diri.

Katanya, ramai sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak akibat norma baharu yang mengubah persekitaran kerja dan pembelajaran semasa pandemik Covid-19.

“Rutin harian mereka terganggu apabila terpaksa bekerja dari rumah.

“Bekerja dari rumah juga bermakna majikan akan menghubungi pekerja setiap masa sepanjang hari.

“Begitu juga bagi suami dan isteri, walaupun berada di rumah mereka perlu melaksanakan tugas yang diberi majikan.

“Wanita lebih terbeban kerana pada masa yang sama mereka perlu menguruskan rumah dan menjaga anak,” kata Dr Rahmatullah.

Pakar psikologi klinikal Dr Rahmatullah Khan Abdul Wahab Khan. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2022.

Sementara itu, pakar perunding psikologi Prof Dr Tan Chee Seng, yang juga pengasas Dawning Spiritual Growth Center, berkata sesi terapi psikologi meningkat 30% manakala jumlah pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling naik 10% pasca pandemik.

“Sesi rundingan psikologi meningkat selepas April. Pelajar misalnya, mereka bimbang untuk kembali mengikuti pembelajaran secara fizikal.

“Mereka bimbang untuk bergaul dengan rakan sekelas,” katanya.

Dr Tan  juga berkata sesi pembelajaran di rumah selama dua tahun akibat sekatan pergerakan juga merencatkan kemahiran berkomunikasi pelajar.

“Mereka datang berjumpa kami untuk mendapatkan bantuan kerana menghadapi masalah untuk bergaul dengan orang lain.”

Pakar perunding psikologi Prof Dr Tan Chee Seng. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2022.

Tambahnya masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan dan rawatan untuk kesihatan mental.

“Orang ramai masih teragak-agak untuk berjumpa pakar psikologi. Walaupun jumlah yang mendapatkan bantuan semakin meningkat, namun masih ramai juga yang menolak rawatan kesihatan mental,” ujarnya.

Bagi pasangan yang berkahwin pula, kurang komunikasi sering menjadi punca masalah dalam hubungan, kata Dr Tan. – 6 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen