DUA peguam bersetuju dengan cadangan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan supaya melantik peguam sebagai ejen pilihan raya. Memandangkan peguam arif dengan undang-undang, penipuan dalam pilihan raya dapat dielakkan, kata mereka.
“Bagi saya, penglibatan mereka yang arif kepada konfrontasi dan penyelesaian pertikaian dalam proses pilihan raya adalah idea yang bagus,” kata Timbalan Ketua Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Badan Peguam, Lim Wei Jiet.
“Secara praktikalnya, peguam yang berminat untuk menyumbang kepada integriti proses pilihan raya perlu melibatkan diri dengan NGO yang arif dengan prosedur yang terlibat dan dapat memberi latihan, seperti Tindak Malaysia dan Bersih 2.0,” kata Lim.
Pada Rabu, Ambiga menyeru supaya peguam berkhidmat sebagai ejen pengundian, ejen pengiraan dan ejen barong atau Pacaba pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kumpulan reformasi pilihan raya, Tindak Malaysia berkata, terdapat keperluan untuk ejen pilihan raya bagi mengelakkan penipuan dan kini mensasarkan untuk melatih lebih dari 150,000 rakyat Malaysia sebagai Pacaba.
Ambiga juga menceritakan pengalaman beliau sebagai pengerusi bersama Bersih ketika pilihan raya umum 2013.
“Ada sesetengah kerusi kalah kerana mereka tidak menegaskan hak calon mereka,” kata Ambiga yang kini Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam).
“Ini adalah cadangan untuk “Tindak” dan kumpulan lain yag melatih ejen (pilihan raya), latih peguam! Sekiranya ada peguam yang bersedia melakukannya, kamu perlu tawar diri,” katanya.
Menurut angka yang dikeluarkan Badan Peguam, terdapat 21,000 peguam di Semenanjung Malaysia.
“Saya rasa sudah sampai masanya peguam dilantik sebagai ejen pilihan raya khususnya dalam memantau sama ada peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang ini dilangggar atau tidak,” kata peguam hak asasi dan Perlembagaan, Abraham Au. – 23 Februari, 2018.
Komen