Pakistan bimbang situasi di Selat Taiwan


Orang ramai berkumpul di Taman Budaya Hak Asasi Manusia Jingmei, Taipei, Taiwan bagi membantah lawatan Nancy Pelosi ke sana. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2022.

PAKISTAN pada Rabu menyuarakan kebimbangan mengenai situasi di Selat Taiwan kerana dunia tidak mampu berdepan satu lagi krisis selepas konflik Rusia-Ukraine.

“Pakistan bimbang dengan situasi terkini di Selat Taiwan, yang dikhuatiri mempunyai implikasi serius terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

“Dunia tidak mampu menghadapi satu lagi krisis yang membawa kesan negatif terhadap keamanan, keselamatan dan ekonomi global,” menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan. 

Pakistan turut menegaskan semula “komitmennya terhadap Dasar Satu-China”.

Ketegangan tercetus antara China dan Amerika Syarikat (AS) susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke Taiwan.

Ahli Majlis Negara China dan Menteri Luar Wang Yi pada Rabu menyifatkan lawatan itu sebagai melanggar prinsip “Satu China” dan kedaulatan negaranya.

Pelosi merupakan ahli politik AS berpangkat tertinggi yang melawat pulau itu dalam tempoh 25 tahun.

China pada Selasa mengumumkan latihan ketenteraan menggunakan kapal perang dan pesawat selama empat hari berhampiran perairan Taiwan. – Bernama, 3 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen